|
Kempen bagi meningkatkan
kutipan zakat
di Negeri Pahang telah
bermula sejak tahun 1986. Kempen ini telah
dijalankan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam
Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam
Pahang (JAIP) melalui program-program seminar,
khutbah dan pengedaran maklumat secara umum. Pada
masa itu urusan kempen zakat, terutamanya zakat
harta sangatlah terhad.
Pada
bulan
Disember 1993
, MUIP
telah bersetuju
melantik sebuah badan swasta iaitu AZSB (Azzakah Sdn
Bhd) untuk menguruskan kutipan zakat di daerah
Kuantan sebagai percubaan. Setelah setahun
beroperasi, MUIP mendapati bahawa kutipan zakat
di Daerah Kuantan telah meningkat 100%. Maka,
MUIP telah bersetuju supaya kaedah yang sama
dilaksanakan di seluruh Pahang dengan syarat MUIP
menguasai badan yang melaksanakan urusan tersebut.
MUIP telah bergabung
dengan AZSB bagi memulakan operasi kutipan zakat
harta di Negeri Pahang mulai
02 Januari 1996 dengan
nama Pusat Kutipan Zakat Pahang serta pegangan saham
51% dan AZSB 49%. Setelah 4 tahun menjalankan
kerjasama dengan AZSB, pada tahun 2000 MUIP telah
mengambil alih Pusat Kutipan Zakat Pahang sepenuhnya.
Operasi
Kempen Zakat
di
Negeri Pahang yang merupakan
negeri terbesar di semenanjung Malaysia dengan
keluasan 35,969 km persegi atau 3.6 juta hektar pada
peringkat awal tertumpu di bandar-bandar utama
seperti Kuantan dan Temerloh sahaja kerana di
daerah-daerah lain rekod kutipan sebelumnya adalah
kecil. Bersandarkan kepada
faktor geografi dan taburan
penduduk serta rekod bayaran, maka PKZ Pahang hanya
membuka
tiga
cawangan dalam tahun 1996
iaitu di Kuantan, Temerloh dan Raub. Beberapa tahun
kemudian PKZ mula membuka pejabat mini di 8 buah
daerah iaitu di
Pekan, Rompin, Muadzam
Shah, Jengka, Jerantut, Bentong, Lipis, dan terkini
Bera.
Setelah 12 tahun PKZ
beroperasi, rekod kutipan zakat harta menunjukkan
peningkatan yang memberangsangkan. Pada mulanya
hanya seramai 6,645 orang dengan jumlah
kutipan
sebanyak RM5.4 juta, kini bilangan pembayar telah
mencapai lebih 40,000 orang serta kutipan
melebihi RM50 juta setahun.
Selain daripada itu, PKZ juga menyediakan kemudahan orang ramai untuk membuat
bayaran zakat dengan mengadakan usaha sama dengan
beberapa agensi lain seperti Pos Malaysia, Bank Islam, RHB Bank,
Public Bank, AmBank, EON Bank, Agro Bank, Bank
Muamalat, Maybank dan juga CIMB Bank. Dengan
tersedianya kemudahan
bayaran zakat melalui 10 buah agensi ini, kutipan
zakat harta di negeri ini akan dapat dipertingkatkan
dari masa kesemasa.
|