|
ASNAF ZAKAT
Pengenalan
Asnaf telah ditetapkan kepada lapan golongan sahaja,
pun begitu terdapat beberapa kriteria yang perlu
dipenuhi untuk melayakkan mereka tergolong sebagai
penerima zakat. Perkara ini perlu bagi memastikan
hasil zakat tidak dieksploitasi oleh golongan yang
tidak bertanggungjawab.
Dalil Berkaitan Asnaf Zakat
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah
untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin, dan
amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang yang
dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang
hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang
berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan
Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan
bekalan) dalam perjalanan, (ketetapan hukum yang
demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang
datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana “
(surah at-Taubah 60)
Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud :
“Daripada Zaid bin al-Haris al-Suddai berkata : Aku
telah datang menemui Rasulullah s.a.w maka aku
berbaiah kepadanya, (maka dia telah bercerita
panjang) kemudian dia berkata : tiba-tiba telah
datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w seraya
berkata : berikan kepada ku sebahagian daripada
zakat. Maka Rasulullah s.a.w berkata kepadanya : “
Allah tidak meredhai keputusan Nabi dan manusia lain
dalam pembahagian zakat sehingga Dia sendiri yang
menentukan keputusannya, maka Dia telah membahagi
zakat kepada lapan bahagian (asnaf). Sekiranya kamu
termasuk dalam bahagian tersebut, aku akan berikan
hak kamu“
(Riwayat Abu Daud)
Pembahagian Asnaf
1. Fakir
Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau
pekerjaan halal atau menerima pendapatan tidak
sampai 50% daripada keperluan asas harian diri dan
tanggungannya mengikut ukuran hidup yang sederhana.
2. Miskin
Seseorang yang mempunyai harta atau pendapatan yang
melebihi 50% tetapi mencapai haddul kifayah
untuk keperluan asas diri dan tanggungannya.
3.
Amil
Individu atau institusi yang terlibat secara
langsung dengan institusi zakat sama ada mengurus
dan mentadbir hal ehwal pungutan, pengagihan atau
yang mengawasi urusan kewangan zakat.
4. Muallaf
Mereka yang dijinakkan hatinya atau diharapkan
kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau
mereka yang baru memeluk Islam dan belum kukuh
Islamnya.
5. Riqab
Memerdekakan diri daripada cengkaman perhambaan,
kejahilan atau kongkongan pihak-pihak tertentu.
6. Gharimin
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan
asas diri, keluarga, tanggungannya atau masyarakat
dan memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan
syarak.
7. Fi Sabilillah
Mereka yang berjuang, berusaha, mempertahankan dan
meningkatkan penghayatan Islam.
8. Ibnussabil
Orang yang terputus bekalan (perbelanjaan) semasa
perjalanan (safar) dan orang yang hendak memulakan
perjalanan (safar) yang diharuskan oleh syarak. |