|
ZAKAT TANAMAN
Pengenalan
Zakat Tanaman ialah zakat hasil tanaman yang
diusahakan oleh orang Islam sama ada dalam bentuk
biji-bijian atau buah-buahan dengan syarat-syarat
tertentu. Ia merupakan satu zakat yang dikenakan ke
atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah
negeri yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil
tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin-bijirin
dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan
tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma,
jagung, gandum dan sebagainya. Bagi penduduk di
Malaysia, makanan asasinya adalah nasi dan nasi
dihasilkan daripada padi. Maka zakat tanaman yang
sesuai dikeluarkan bagi negara ini adalah zakat
padi.
Dalil Wajib Zakat Tanaman
Firman Allah s.w.t :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ أَمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ
طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم
مِّنَ الأَرْضِ
ۖ....
﴿267﴾
"Wahai orang-orang yang beriman, belanjalah pada
jalan Allah sebahagian dari hasil kamu yang
baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami
keluarkan dari bumi untukmu.."
(Surah Al-Baqarah 267)
Firman Allah s.w.t :
“Dan Dialah (ALLAH) yang menjadikan (untuk kamu)
kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak
menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan
tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk,rupa dan)
rasanya dan buah zaitun dan delima yang bersamaan
(rasanya). Makanlah daripada buahnya ketika ia
berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari
memetik atau menuainya.”
(surah al-An’aam 141)
Sumber Zakat Tanaman
Sumber zakat tanaman yang disesuaikan dengan
Malaysia ialah :
a)
Hasil tanaman asas seperti padi dan
biji-bijian lain yang sama dengan padi.
b)
Tanaman yang diusahakan secara perkongsian
perlu dizakatkan dahulu sebelum dibahagi-bahagikan.
c)
Hasil tanaman tidak asas dan bukan makanan
asasi seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada
hitam, tebu, koko, dan lain-lain buah-buahan lain
dikenakan zakat perniagaan jika diperniagakan.
d)
Begitu juga dengan hasil usaha perikanan dan
hasil laut seperti ambar, sarang burung, mutiara,
ikan, garam, telur penyu dan lain-lain diletakkan di
bawah zakat perniagaan jika ia diperniagakan.
e)
Tanaman tersebut ditanam oleh manusia.
Semua jenis hasil tanaman dan pendapatan dikenakan
zakat sesuai dengan kaedah :
-
Memilih yang lebih bermanfaat bagi fuqara
(إختيار
الأنفع للفقراء)
-
Mengambil daripada yang kaya dan dikembalikan
kepada yang miskin
(صدقة
تؤخذ من أغنيائهم وترد على فقرائهم)
Nisab Zakat Tanaman
Nisab zakat tanaman (padi) adalah 5 ausuq
bersamaan 400 gantang atau 1,000 kilogram.
Waktu Wajib Zakat Tanaman
Para ulama' Syafi'e mengatakan waktu wajib zakat
biji-bijian ialah sesudah masak dan sesudah selesai
dibersihkan.
Firman Allah s.w.t :
وَهُوَ الَّذِي أَنْشَأَ جَنَّاتٍ مَّعْرُوشَاتٍ
وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ
مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ
مُتَشَابِهًا وَغَيرَ مُتَشَابِهٍ كُلُوا مِنْ
ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَاۤتُوا حَقَّهُ يَوْمَ
حَصَادِهِ وَلاَ تُسْرِفُوا إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ
الْمُسْرِفِينَ ﴿141﴾
"Dan dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu
kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak
menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan
tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan)
rasanya dan buah zaitun dan delima yang bersamaan
(warna dan daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya).
Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan
keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik
atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada
apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan) ;
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang melampau"
(Surah Al-An'am 141) |