|
Ancaman Dan Peringatan Allah Tentang
Orang Yang Tidak Menunaikan Zakat
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِي أَنْعَمْنَا بِنِعْمَةِ
اْلإِسْلاَمِ، وَهَدَانَا إِليَ طَرِيقِ السَّلاَمِ، اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَم
وَمِنْكَ السَّلاَم وإِلَيْكَ يَعُودُ السَّلاَم
فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلام
وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ دَارَ السَّلاَم
تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعاَلَيْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَام.
أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
وَبَارِكْ عَلَي حَبِيبِنَا
وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا
مُحَمَّدِنِ الرَّحْمَةِ
وَعَلَي ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ
تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَه
أَمَّا بَعْدُ : فَيَا عِبَادَ الله، أُوصِيكُمْ وَإِيَّايَ
بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saya berpesan kepada kaum muslimin sekalian dan kepada diri saya sendiri, supaya
kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah SWT,
dengan erti kata bersungguh-sungguh, dalam mengerjakan segala titah perintah dan
suruhan-Nya, serta meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya, dengan penuh
keyakinan dan keikhlasan. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan
beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat Rahimakumullah,
Iman bererti percaya kepada Allah S.W.T, para malaikat, para rasul, kitab, qada’
dan qadar, serta hari kiamat. Orang-orang yang beriman juga, akan memancarkan
keimanan mereka dalam amalan-amalan soleh mereka, baik yang wajib, mahupun yang
sunat.
Muslimin yang dirahmati Allah S.W.T,
Setiap amalan
yang kita lakukan, ada bahagian yang merupakan hak kita dengan Allah S.W.T, dan
ada pula bahagian yang merupakan hak
kita sesama manusia. Maka adalah menjadi suatu tuntutan dalam Islam agar
penganutnya benar-benar patuh dalam menunaikan hak Allah SWT, dan Islam
juga mahukan manusia yang patuh itu, supaya menunaikan hak sesama manusia
seperti bantu-membantu serta hormat menghormati di dalam pergaulan masyarakat.
Mimbar hari ini
akan menyentuh hal mengenai kefardhuan zakat, yang menjadi salah satu sumber
bantuan untuk mereka yang kurang berkemampuan. Zakat merupakan salah satu
perkara pokok dan tunggak ajaran agama Islam, sebagaimana sabdaan Rasulullah
S.A.W yang bermaksud :
“Dibina Islam itu atas lima tunggak. Pengakuan tidak ada Tuhan selain Allah
dan nabi Muhammad s.a.w. itu hamba dan rasul-Nya. Mendirikan sembahyang fardhu 5
kali sehari semalam, mengeluarkan zakat (harta dan fitrah) melakukan Haji dan
berpuasa dalam bulan Ramadhan.
Zakat merupakan
satu sistem yang menekankan kepada kesepaduan kualiti dan kuantiti. Zakat
diwajibkan untuk melindung, melatih dan menjamin pembangunan ummah. Dengan itu,
sistem zakat menjadi satu meka-nisma, yang menggarapi keseluruhan sistem
kehidupan sesebuah masyarakat supaya dapat menikmati kehidupan yang cemerlang.
Dengan berzakat, seseorang itu akan dapat mempertalikan dirinya dengan
masyarakat dan dengan berzakatlah juga, harta seseorang itu menjadi bersih,
jiwanya menjadi suci, perasaannya menjadi tenteram kerana telah menunaikan
kewajipan untuk memenuhi tuntutan demi menegakkan keadilan masyarakat. Firman
Allah SWT. dalam surah At-Taubah, ayat 103 :

Maksudnya : “Ambillah
sebahagian dari harta mereka sedekah (zakat), supaya dengannya engkau
membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang keji)
dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman
bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
Muslimin yang dikasihi,
Harta merupakan
di antara nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya, yang
wajib disyukuri dan ditadbir dengan baik dan betul. Tujuannya agar kita tidak
kufur terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada
kita.
Sebagaimana Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 7 :
واذ تاذن ربكم لان شكرتم لازيدنكم ولان كفرتم ان عذابي
لشديد
Maksudnya : “Dan ingat, tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi
sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu dan
demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras."
Justeru sebagai insan yang mengaku dirinya beriman dan bertaqwa, dan ingin
mendapatkan keredhaanNya, maka marilah kita bersyukur dengan nikmat-nikmat yang
ada. Untuk melahirkan kesyukuran tersebut, mestilah ditunjukkan dengan perbuatan
yang boleh melepaskan saudara-saudara kita dari belenggu kemiskinan, tidak cukup
dengan hanya ucapan-ucapan sahaja.
Adalah tidak dinafikan sememangnya fitrah manusia itu cenderung kepada bersifat
kedekut atau kikir sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah al –
Ma’aarij ayat 19 – 21 yang bermaksud :
"Sesungguhnya manusia itu
dijadikan bertabiat resah gelisah lagi bakhil kedekut. Apabila ia ditimpa
kesusahan, ia sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan ia sangat
bakhil kedekut.”
Namun agama Islam telah mendidik umatnya supaya tidak terlalu mementingkan harta
dan kekayaan dunia dan juga tidak bersifat kikir atau kedekut. Kita perlu ingat
bahawa harta yang dimiliki itu bukan milik kita sepenuhnya, ia adalah amanah
dari Allah Subhanahu Wata'ala yang di dalamnya terdapat hak-hak orang lain yang
mesti
ditunaikan iaitu dengan mengeluarkan zakat.
Persoalannya, sejauh manakah kita telah memenuhi tuntutan zakat ini? Adakah
memadai dengan hanya mengeluarkan zakat fitrah di bulan Ramadhan? Sedangkan
zakat yang dituntut bukan sahaja zakat fitrah, malahan juga zakat harta. Inilah
yang merupakan salah faham masyarakat dewasa ini. Masyarakat hanya menganggap
bahawa hanya perlu membayar zakat fitrah, dan tidak perlu membayar zakat harta.
Alasan yang sering diberikan ialah masih belum cukup syarat untuk menunaikannya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Punca utama yang menyebabkan terdapatnya individu yang tidak mahu mengeluarkan
zakat harta ini adalah akibat terlalai dengan kemewahan yang dikecapi. Firman
Allah S.W.T :

Maksudnya
:
Janganlah kamu dilalaikan oleh harta
benda dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah dan barang siapa yang
berbuat demikian, merekalah orang-orang yang rugi. Surah Al-Munafiqun, ayat
9.
Sesungguhnya dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis telah banyak memberi peringatan
kepada orang yang enggan membayar zakat. Oleh itu barang siapa yang mengabaikan
kewajipan membayar zakat sedangkan dia mampu dan telah memenuhi syarat-syarat
untuk berzakat, maka dia telah melakukan dosa besar dan dijanjikan dengan
balasan seksa yang amat pedih lagi menyakitkan.Sebagai peringatan dan pedoman, Allah Taala berfirman
dalam surah at-Taubah ayat 34 dan 35 :

Maksudnya : “Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak
membelanjakannya pada jalan Allah (yakni berzakat), maka khabarkanlah kepada
mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Pada hari itu emas
dan perak (serta harta benda yang dimilikinya) akan dibakar di dalam api neraka
lalu diselar ke dahi mereka, rusuk mereka dan di belakang mereka (sambil
dikatakan kepada mereka), inilah harta benda mu yang kamu simpan untuk diri kamu
sendiri. Oleh itu rasakanlah azab-Ku yang amat pedih akibat dari apa yang kamu
simpan.”
Di tempat lain
Allah Taala memberi amaran keras kepada orang-orang yang tidak membayar zakat
dan mengingkari hari akhirat melalui firmanNya:

Maksudnya :
“Celakalah orang-orang yang mempersekutukan tuhan, iaitu orang-orang yang
tidak membayar zakat dan mengingkari hari akhirat.” Surah Fussilat ayat 6 – 7.
Manakala dalam
sebuah hadis, telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Baginda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda bahawa :
“Barang siapa yang telah diberikan harta oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan
ia tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya itu akan diserupakan dengan seekor
ular yang ganas dan besar, yang kepalanya botak kerana terlalu tua, dengan dua
taringnya yang akan digunakannya untuk mengoyak-ngoyakkan tubuh orang yang tidak
mengeluarkan zakat itu pada Hari Kiamat. Lalu ular itu pun menggigitnya dengan
menggunakan kedua sudut mulutnya itu sambil ia mengatakan : Akulah hartamu, dan
akulah perbendaharaanmu yang engkau simpan di dunia itu.”
Kemudian Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam membacakan pula firman Allah dalam surah al – Imran ayat 180, tafsirnya
:
"Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya yang menyangka bahawa keadaan
bakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan
dikalungkan yakni diseksa dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Hari Kiamat
kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan isi langit dan bumi. Dan
ingatlah Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”
Selain itu
Baginda Rasulullah S.A.W juga telah memberi amaran kepada orang yang memiliki
emas dan perak, tetapi mereka tidak mengeluarkan zakat, maka pada Hari Kiamat
nanti disediakan baginya kepingan-kepingan besi daripada api, lalu dipanaskan
kepingan-kepingan itu di dalam api neraka, kemudian diletakkan pada rusuk, dahi
dan punggungnya dengan kepingan-kepingan panas tersebut. Setiap kali
kepingan-kepingan itu menjadi sejuk lalu ia akan dipanaskan semula. Pada
kejadian itu berlaku masa sehari menyamai tempohnya dengan 50 ribu tahun dan hal
ini berlaku secara berterusan sehingga perhitungan yang dibuat kepada setiap
hamba selesai. Maka selepas itu barulah dia nampak ke manakah jalan yang akan
ditujunya, sama ada ke syurga ataupun ke neraka.
Oleh itu, sedarlah, dan janganlah kita dilalaikan dan terpedaya dengan harta dan
kemewahan yang dinikmati, Jangan lupa hak dan amanah yang telah
dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Ingatlah peringatan Allah
sebagaimana firman-Nya dalam Surah Asy-Syu'araa' ayat 88 – 89, tafsirnya
:
"Hari yang padanya harta
benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun kecuali
harta benda dan anak pinak orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati
yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik.”
Sepatutnya kita berasa takut dan gentar akan peringatan Allah S.W.T mengenai
seksaan dan penderitaan di neraka, bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat.
Mereka dibelit ular yang sangat besar, diletakkan pada tubuh mereka dengan
kepingan-kepingan besi yang sangat panas, sedangkan mereka sebenarnya sudah
tidak tertahan lagi menanggung seksaan-Nya yang amat pedih itu. Ketika itu
penyesalan sudah tidak berguna lagi. Ketika diberi peluang hidup di dunia,
mereka mensia-siakan kesempatan yang ada, walaupun sudah berulang-ulang kali
diingatkan dan dinasihatkan mengenai balasan di Hari Kiamat. Malangnya mereka
tidak mahu mendengar, mereka tidak peduli dan mereka tidak merasa takut dan
getir seolah-olah khabar itu cuma sebuah cerita yang menakutkan dan hari kiamat
itu pula masih jauh jangkanya.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بِالْقُرْءَانِ الْعَظِيم ,
وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِاْلأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيم , وَتَقَبَّلَ مِنِّى
وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيم . أَسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ
وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ , فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ
الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ
|