|
KEBAKHILAN TERHADAP HARTA
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِي أَنْعَمْنَا بِنِعْمَةِ
اْلإِسْلاَمِ، وَهَدَانَا إِليَ طَرِيقِ السَّلاَمِ، اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَم
وَمِنْكَ السَّلاَم وإِلَيْكَ يَعُودُ السَّلاَم
فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلام
وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ دَارَ السَّلاَم
تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعاَلَيْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَام.
أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ
أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
وَبَارِكْ عَلَي حَبِيبِنَا
وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا
مُحَمَّدِنِ الرَّحْمَةِ
وَعَلَي ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ
تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَه
أَمَّا بَعْدُ : فَيَا عِبَادَ الله، أُوصِيكُمْ وَإِيَّايَ
بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Saya berpesan kepada kaum muslimin sekalian dan kepada diri saya sendiri, supaya
kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah SWT,
dengan mengerjakan segala titah perintah dan suruhan-Nya serta meninggalkan
segala tegahan dan larangan-Nya. Maka berbahagialah dan beruntunglah bagi mereka
yang bertaqwa kepada Allah SWT.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah S.W.T. sekalian.
Islam adalah
merupakan agama atau addin yang inginkan penganutnya menjadi manusia yang patuh
dalam menunaikan hak Allah SWT, dan Islam juga mahukan manusia yang patuh itu
supaya menunaikan hak sesama manusia seperti bantu-membantu, hormat menghormati
di dalam pergaulan masyarakat.
Maka bantuan yang
diwajibkan oleh agama Islam ialah kefardhuan zakat, yang diambil daripada mereka
yang berkemampuan untuk diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya,
sebagaimana firman Allah SWT. dalam surah At-Taubah, ayat 60 :

Maksudnya :
Sesungguhnya sedekah-sedekah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan
orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang
dijinakkan hati mereka, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri
mereka, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk ( dibelanjakan pada ) jalan
Allah, dan orang-orang musafir ( yang keputusan ) dalam perjalanan.
( Ketetapan hukum yang demikian itu ialah
) sebagai satu ketetapan ( yang datangnya ) dari Allah. Dan ( ingatlah ) Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah sekalian,
Harta benda
menurut pandangan falsafah Islam adalah harta benda Allah SWT, sedangkan manusia
hanya memilikinya untuk tempoh tertentu sahaja. Harta adalah ujian Allah SWT.
untuk menguji sejauh mana keimanan seseorang hamba-Nya, samada mereka tergolong
daripada orang-orang yang bersyukur atau sebaliknya.
Manakala zakat
adalah keperluan bagi anggota masyarakat yang tempang kehidupan mereka.
Kewajipan mengeluarkan zakat sama dengan kewajipan mendirikan solat dan Allah
SWT. satukan sebutan solat dan zakat dalam firman-Nya :

Maksudnya :
Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama-sama dengan
orang-orang yang rukuk.
Al-Baqarah, ayat (
43 ).
Dengan solat
bererti seseorang itu memperhambakan diri dan sentiasa menghubungi Allah SWT.
tanpa melalui perantaraan, manakala zakat pula seseorang
itu dapat mempertalikan dirinya dengan masyarakat dan dengan berzakatlah juga,
harta seseorang itu menjadi bersih, jiwanya menjadi suci, perasaannya menjadi
tenteram kerana telah menunaikan kewajipan untuk memenuhi tuntutan demi
menegakkan keadilan masyarakat.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah SWT. sekalian
Zakat yang berkonsepkan kepada pembersihan harta benda dan
penyucian diri dan jiwa seseorang mempunyai beberapa tujuan :
·
Sebagai bukti kecintaan dan ketaatan manusia terhadap Allah SWT.
·
Mensucikan diri dari sifat bakhil.
·
Sebagai ungkapan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT.
·
Sebagai bekalan dan jaminan serta kebahagiaan yang berkekalan
sama
ada di dunia mahupun di akhirat.
Proses
pengeluaran zakat adalah merupakan asas kesempurnaan dan ketaqwaan kita di dalam
menegakkan agama Islam yang maha suci. Di dalam Al-Quran, Allah SWT.
menceritakan bahawa ganjaran-ganjaran yang akan diperolehi bagi mereka yang
melaksanakannya, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 261 :

Maksudnya :
Bandingan ( zakat ) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah
ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap
tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan
( ingatlah ) Allah Maha Melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas
( rahmat ) kurnia-Nya.
Begitu juga bagi
mereka yang ingkar dan sengaja meremehkan atau melambatkan, Allah SWT. telah
memberi amaran dan peringatan serta menjanjikan azab keseksaan yang tidak
terperi sakitnya. Gambaran tersebut telah diceritakan oleh Allah SWT. di dalam
surah At-Taubah, ayat 34 – 35 :

Maksudnya : Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak
dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka
dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Pada hari itu emas dan
perak ( serta harta benda yang dimilikinya ) akan dibakar di dalam api neraka
lalu diselar ke dahi mereka, rusuk mereka dan di belakang mereka ( sambil
dikatakan kepada mereka ), inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk diri kamu
sendiri. Oleh itu rasakanlah azab-Ku yang amat pedih akibat dari apa yang kamu
simpan.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah sekalian,
Sesungguhnya apa
jua jenis harta benda yang tidak ditunaikan zakat oleh pemiliknya, mereka tidak
akan terlepas dari azab Allah SWT. Pelbagai bentuk azab ditimpakan oleh Allah
SWT. terhadap manusia bakhil yang tidak menunaikan zakat, sesuai dengan harta
benda yang mereka bakhilkan dari mengeluarkan zakat. Jika harta itu dari
binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri, azabnya
binatang tersebut akan menanduk dengan tanduknya dan memijak dengan kakinya
kerana keengganan tuannya untuk mengeluarkan zakat. Keadaan tersebut berlaku
sehingga selesai semua urusan mahkamah di akhirat.
Segala azab yang
ditimpakan terhadap kebakhilan manusia adalah untuk membalas keseronokan dan
kesombongan mereka terhadap harta yang tidak ditunaikan zakatnya. Maka sudah
pasti azab menunggu mereka sebagai giliran dari kesenangan hidup di dunia
disebabkan kebakhilan mereka.
Imam Bukhari,
Muslim dan An-Nasai meriwayatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud : Sesiapa
yang diberikan oleh Allah SWT harta benda, tetapi tidak mengeluarkan zakatnya,
di akhirat kelak harta benda tersebut akan bertukar menjadi seekor ular besar
yang sangat bisa. Ular tersebut akan membelit mereka sehingga ke mulutnya, lalu
ular itu berkata : Aku adalah harta kamu yang tidak ditunaikan zakatnya.
Dan firman Allah
SWT. dalam surah Ali Imran, ayat 180 :

Maksudnya :
Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah
berikan dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka.
Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan
itu akan membelit leher mereka pada hari kiamat.
Hakikatnya
manusia adalah hamba yang fakir di sisi Allah SWT. yang dilahirkan tanpa seurat
benang yang membaluti tubuhnya dan tiada sebarang harta yang mengiringi
kelahirannya ke dunia yang fana ini. Apa yang mereka miliki walau seutas benang
atau selembar kain yang menutup tubuhnya, adalah rezeki yang dikurniakan oleh
Allah SWT. yang Maha Kaya. Justeru itu manusia tidak boleh mendabik dada sebagai
hartawan atau jutawan ketika mereka memiliki harta tersebut kerana harta yang
dimilikinya hanyalah sebagai pinjaman dan sementara sahaja. Hakikatnya harta
adalah amanah dari Allah SWT.
Kaum muslimin
yang dirahmati Allah SWT.
Mengapakah
manusia sanggup bersikap bakhil dengan harta yang dikurniakan Allah SWT? Justeru
kebakhilan itu menunjukkan bahawa manusia telah menjadikannya sebagai matlamat
hidup, maka kehidupan mereka sudah pasti mengundang kepada keburukan sedangkan
agama Islam hanya meletakkan harta sebagai alat bagi menyempurnakan segala
keperluan hidup yang sementara di dunia ini.
Keburukan yang
terdapat di sebalik kebakhilan dan keingkaran manusia terhadap perintah Allah
SWT, menyebabkan golongan yang berhak ke atas harta tersebut telah tersekat dari
menerima hak mereka, terutamanya dari kalangan fakir dan miskin serta golongan
atau asnaf yang lapan.
Keburukan yang
berikutnya ialah azab yang akan diterima terhadap si bakhil pada hari akhirat
iaitu harta kurniaan Allah SWT. yang mereka bakhilkan itu akan melilit leher
mereka di Mahsyar kelak sehingga hancur luluh segala tulang belulang si bakhil
itu.
Kaum muslimin
yang dirahmati Allah SWT.
Sebagai
kesimpulannya, Islam menggalakkan kita mencari kekayaan di dunia supaya dengan
kesenangan yang diperolehi itu dapat disalurkan untuk kepentingan diri,
keluarga, agama dan negara. Tetapi perlu diingat di dalam putaran mencari harta
hendaklah diperolehi dari sumber yang suci dan halal kerana ianya akan
disalurkan untuk nafkah dan pembentukan darah daging kita.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بِالْقُرْءَانِ الْعَظِيم , وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ
بِاْلأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيم , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ ,
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيم . أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِى وَلَكُمْ
وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ,
فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ
|