Kewajipan Mengeluarkan Zakat

 

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ, ياَ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَنْفِقُواْ مِنْ طَيِّباَتِ مَا كَسَبْتُمْ, وَمِمَّا أَخْرَجْناَلَكُم مِّنَ اْلأَرْضِ, وَلاَ تَيَمَّمُواْ الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِئاَخِذِيهِ إِلاَّ أَنْ تُغْمِضُواْ فِيهِ, وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ

أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيَّ اْلأُمَّة وَكَاشِفَ الْغَمَّة وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعيِنَ .     أَمَّا بَعْدُ .... فَيَا عِبَادَ اللهُ ,  أُوصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ

 

Pada hari yang mulia ini marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang beruntung di sisi Allah s.w.t.

 

Sidang Jumaat yang berbahagia, tajuk khutbah hari ini ialah Kewajipan Mengeluarkan Zakat.

 

Zakat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam Islam. Pengamalan berzakat merupakan persoalan pokok dalam agama Islam. Hakikat ini dapat dilihat melalui kedudukannya sebagai salah satu daripada rukun Islam berasaskan sabdaan Rasulullah s.a.w melalui sabdaannya yang bermaksud:

 

"Islam diasaskan atas lima perkara: kesaksian bahawa tiada tuhan selain daripada Allah dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan fardu haji dan berpuasa di bulan Ramadhan. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) "

 

Jika dilihat dari firman Allah s.w.t pula, kita dapati bahawa perintah melaksanakan zakat sentiasa digandingkan dengan perintah melaksanakan solat, sehingga kedua-duanya seolah-olah sesuatu yang berkembar. Antara lain ialah firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 34 :

وَأَقِيمُوا الصَّلاَةَ وَءَاتُوا الزَّكَوةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّكِعِينَ

 

" Dan dirikan solat, serta tunaikan pembayaran zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang ruku'.  "

 

Kedudukan zakat merupakan salah satu asas agama Islam seperti yang telah ditunjukkan contohnya oleh Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq ra, yang terpaksa memerangi mereka yang enggan mengeluarkan zakat selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. Golongan ini mengucap dua kalimah syahadah dan melaksanakan ibadat-ibadat yang lain tetapi terpengaruh dengan kempen-kempen orang murtad yang mengatakan zakat tidak lagi wajib selepas nabi wafat.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita dapati terdapat segolongan masyarakat Islam yang tidak mengambil berat tentang ibadat berzakat. Rata-rata kefahaman umat Islam mengenai zakat masih rendah jika dibandingkan dengan kewajipan rukun-rukun Islam yang lain. Sering kali kita melihat, ada di kalangan masyarakat Islam yang beranggapan bahawa, zakat yang wajib ialah zakat fitrah sahaja. Setiap tahun apabila ia mengeluarkan zakat fitrah ketika menyambut Idul Fitri, ia merasakan bahawa ia telah menunaikan zakat. Walaupun hartanya banyak dan telah melebihi kadar nisab zakat.

 

Jelas kepada kita bahawa, pengetahuan masyarakat Islam mengenai hukum-hukum zakat masih berada di tahap yang rendah. Ramai di kalangan ahli masyarakat yang tidak mengetahui dan memahami harta-harta yang diwajibkan zakat. Begitu juga pengertian nisab, haul, kaedah pengiraan wang zakat dan lain-lainnya. Sedangkan pengetahuan ini merupakan persoalan pokok.

 

 

Hari ini kita melihat, sekelompok masyarakat Islam begitu mengambil berat tentang ibadat solat, puasa dan haji. Tetapi penghayatan mereka terhadap zakat tidak sama dan tidak sehebat penghayatan terhadap ibadat-ibadat tadi. Malahan di kalangan masyarakat Islam ada golongan yang begitu bersungguh-sungguh mengumpul harta agar dapat menunaikan haji malahan berkali-kali. Tetapi tidak ramai di kalangan mereka yang gigih mengumpul harta agar dapat menunaikan kewajipan berzakat setiap tahun. Sedangkan haji dan zakat kedua-duanya merupakan rukun Islam. Malah jika kita lihat nas-nas sama ada al-Quran dan as-Sunnah, kita dapati bahawa perintah zakat disebut lebih dahulu dari perintah mengerjakan haji.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

Orang yang mengeluarkan zakat, infaq dan sadaqah, haruslah merasa bahawa saat ia memberikan harta kepada si fakir, pada hakikatnya dia memberikannya kepada Allah s.w.t.

 

Sebagaimana firman Allah s.w.t :

 

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَأْخُذُ الصَّدَقَاتِ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

 

Maksudnya :

 

 “Tidaklah mereka mengetahui, bahawa Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima sadaqah.” (At Taubah: 104)

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

 

Zakat bererti mengeluarkan (sejumlah atau sebahagian) harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T supaya diserahkan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat tertentu. Firman Allah S.W.T  dalam Surah al-Baqarah ayat 267.

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Nafkahkanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan kepada kamu dari bumi (biji-bijian dan buah-buahan). Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya.  Ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

 

Secara umumnya, harta yang mencukupi nisab atau had minimum, adalah harta yang menyamai nilai 85 gram emas mengikut harga semasa, maka wajib dikeluarkan zakat. Sebagai contoh, nilai 85 gram emas atau nisab semasa ketika ini adalah RM 7,776.32 dan nilai bagi satu gram emas ialah RM 91.49. Ini bermakna bagi wang yang tersimpan selama setahun sebanyak RM 7,776.32 atau lebih, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak  2.5%. Sebagai contoh, jika wang yang tersimpan selama setahun itu berjumlah RM 7,800.00 nilai zakat yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak RM 195.00 sahaja.

 

Bagi zakat perniagaan pula, cara pengeluarannya adalah berdasarkan harta bersih daripada perniagaan tersebut sama ada wang tunai atau nilai barang jualan setelah ditolak hutang perniagaan. Apabila cukup nisab semasa (RM 7,776.32), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

 

Zakat pendapatan adalah zakat yang dikenakan ke atas keseluruhan perolehan dari semua sumber seperti gaji, elaun, bonus, pencen, hasil sewa dan lain-lain. Nilai zakat yang dikenakan ialah 2.5% dari jumlah kasar pendapatan yang diperolehi dalam setahun. Jika jumlah kasar pendapatan dalam setahun adalah RM 24,000.00 maka nilai zakat yang dikenakan ialah RM 600.00 setahun atau RM 50.00 sebulan (jika tanpa sebarang tolakan perbelanjaan).

 

Sekarang ini, seorang pembayar cukai yang membayar zakat, akan dapat mengurangkan jumlah cukai yang dikenakan malah boleh diberhentikan pembayaran cukai serta merta, sekiranya bayaran zakat menyamai atau melebihi nilai cukai.

 

Sebagai makluman sidang Jumaat sekalian, umat Islam di negeri Pahang wajib membayar zakat kepada pihak berkuasa iaitu Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), dan MUIP telah mengamanahkan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) sebagai agensi yang dilantik bagi menjalankan urusan kutipan zakat di negeri ini.

 

Untuk masyarakat (khususnya) yang tinggal di Cameron Highlands, pembayaran zakat boleh dibuat kepada wakil yang telah dilantik di Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands. Selain itu, bayaran zakat juga boleh dibuat di Pejabat Pos berhampiran dan Bank-bank yang dilantik atau melalui internet banking. Orang ramai juga boleh membuat bayaran melalui kaedah potongan gaji secara bulanan atau membuat bayaran melalui kiriman terus cek bayaran atau wang pos ke Ibu Pejabat Pusat Kutipan Zakat Pahang.

 

Muslimin yang dirahmati Allah,

 

Al Qur’an menganjurkan agar kita segera berinfaq dan berzakat sebelum hilang kesempatan kerana kematian. Dan ini merupakan suatu tarbiyah yang menumbuhkan semangat berlumba-lumba kepada kebajikan:

 

Firman Allah s.w.t :

أُولئِٰكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُونَ

 

”Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (Al Mukminun: 61)

 

Firmannya lagi dalam surah Al Munafiqun, ayat  10 hingga 11 yang bermaksud :

 

“Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: ‘Ya Tuhanku, alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku, ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah,) Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang apabila sampai ajalnya. Dan Allah Amat Mendalam Pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

 

بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ بِالْقُرْءَانِ الْعَظِيم , وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِاْلأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيم , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيم . أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ , فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِينَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِينَ