Kuantan, 18 November 2009 bersamaan 01 Zulhijjah 1430H; Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang ( MUIP ) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang ( JAIP ) dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan menganjurkan Taklimat Pengurusan Masjid dan Zakat kepada seramai 350 Jawatankuasa Baru Masjid Kariah seluruh Daerah Kuantan yang terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Imam.
YDH. Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Haji Wan Hassan SSAP.,SIMP.,DSAP.,SAP.,JSM.,AMP selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah merasmikan majlis perasmian penutup yang diadakan di Dewan Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan. YDH. Dato Sri dalam ucapannya mengingatkan kepada Jawatankuasa Masjid yang telah dilantik supaya sentiasa amanah dan bertanggungjawab di dalam melaksanakan tugas yang diberikan serta mematuhi segala arahan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Pada majlis itu, YDH. Dato Sri telah menyampaikan agihan zakat kepada Jabatan Agama Islam Pahang berjumlah RM747,055.79 bagi Penyelenggaraan Masjid dan Surau Negeri Pahang, RM 19,467.00 kepada Maahad Wal Qiraat Tengku Ampuan Afzan Pekan bagi Kemudahan ICT dan sebuah mesin jahit tepi bernilai RM 1,600.00 kepada seorang penerima. Selain itu, tiga buah koperasi telah menunaikan zakat berjumlah RM7,478.00 yang terdiri daripada Koperasi Serbaguna (F) Bukit Sagu Berhad, Koperasi Serbaguna (F) Panching Utara Berhad dan Koperasi Serbaguna (F) Panching Timur Berhad.


Disediakan Oleh: MUHAMMAD HAFIDZ BIN ABDUL HALIM Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang
Sumber: MUIP
|