Kuantan, 04 Jun 2010 bersamaan 21 Jamadilakhir 1431H; Bank Rakyat telah membayar zakat perniagaan dan saham untuk tahun kewangan 2009 sebanyak RM1,307,288.00. Bayaran zakat ini diserahkan oleh Y.B Dato Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan kepada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah selaku Tuanku Yang DiPertua, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang bertempat di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan.
Bayaran zakat oleh Bank Rakyat kepada MUIP ini merupakan kali ke 13 berturut-turut sejak tahun 1998. Zakat Perniagaan untuk kali ini melebihi bayaran zakat tahun 2009 sebanyak RM37,727 (2009 sebanyak RM1,269,561.00). Dengan bayaran oleh Bank Rakyat ini, jumlah kutipan zakat harta yang dikutip oleh PKZMUIP hingga kini adalah sebanyak RM20.2 juta (RM19.9 juta pada 31 Mei 2010) berbanding RM15.9 juta pada 31 Mei 2009. Peningkatan kutipan zakat harta yang memberansangkan pada tahun ini dijangka mampu menyumbang kepada pencapaian sasaran RM70 juta zakat harta negeri Pahang pada tahun 2010 ini.
Dengan jumlah kutipan zakat yang terus meningkat ini, MUIP akan dapat merealisasikan program-program agihan zakat dan menyalurkan bantuan sara hidup seperti bantuan kewangan secara bulanan, bantuan prasarana seperti membina dan membaiki rumah, bantuan pendidikan dan lain-lain lagi. Justeru itu adalah diharapkan agar badan-badan korporat sama ada persekutuan dan juga negeri terus menyalurkan zakat perniagaan masing-masing kepada MUIP melalui Pusat Kutipan Zakat Pahang.


Disediakan oleh,
Us Mohd Azmi bin Hj Othman
Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat
Pusat Kutipan Zakat Pahang
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
|