|
Syarat-Syarat Atas Harta Kekayaan Yang Wajib Dizakatkan, “MILIK SEMPURNA”
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KESEBELAS
Muqadimah :
Pra syarat dalam menentukan sesuatu harta kekayaan itu wajib dikeluarkan zakat
antaranya ialah milik sempurna. Sebelum kita mengkaji lebih mendalam prasyarat
ini ada baiknya kita perhatikan kepada asas kewujudan kekayaan ini yang asalnya
adalah datang dari kurniaan Allah swt.
Kekayaan pada dasarnya adalah milik Allah swt. Allah swt yang menciptakannya dan
mengurniakannya kepada manusia. Al-Quran telah memperingatkan perkara dasar ini
iaitu hubungan kekayaan itu dengan pemilik yang sebenarnya iaitu Allah swt
melalui firmannya di dalam surah an Nur ayat 33 yang bermaksud :
“Dan
berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu”
Begitu juga firman Allah swt di dalam surah al-‘Ali Imran ayat 180 yang
bermaksud :
“Dan
jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan
bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka”.
Allah swt juga menegaskan kedudukan manusia dalam hubungan dengan harta kekayaan
ini. Hubungan itu adalah kedudukan manusia sebagai kuasa atau penyimpan harta
kekayaan. Ini boleh diperhatikan di dalam surah al-Hadid ayat 7 yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian
Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil”
Berdasarkan kepada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah swt telah menjadikan
manusia sebagai khalifah dalam mentadbir urusan dunia termasuklah harta kekayaan
yang dikurniakan olehNya. Kekayaan tersebut dijadikan oleh Allah swt sebagai
hadiah ataupun cubaan dan dugaan untuk manusia di bumi ini dan manusialah
sebagai pemiliknya.
Dalam meneliti definisi prasyarat milik sempurna ini, ia terdiri daripada dua
perkataan, pemilikan dan sempurnanya pemilikan itu. Istilah bagi “pemilikan”
ini adalah menguasai dan dapat digunakan.
Dalam kamus al-Mu’jam al-Wasith disebutkan bahawa memiliki sesuatu
yang membawa maksud menguasai dan ia dapat digunakannya. Pengertian ini sama
ertinya dengan istilah yang diguna pakai oleh fuqaha’ sebagai contoh Sheikh
Kamal bin Humam di dalam karangannya al-Fath mengertikan pemilikan itu
“dapat menggunakan sesuatu itu sebagai haknya, bilamana tidak wujud hal-hal yang
menghalangi” . Imam Qarafi di dalam kitabnya al-Furuq ada menyebutkan
pemilikan itu sebagai “ketentuan hukum yang terdapat di dalam benda atau
manfaat yang memberikan hak kepada orang yang memilikinya untuk menggunakannya,
diambil manfaat atau meminta penggantiannya selama tidak terdapat hal-hal yang
menghalangnya.”
Bagi perkataan “sempurna” pula, kekayaan
itu haruslah berada di bawah penguasaan dan di dalam kekuasaannya atau seperti
mana yang telah dinyatakan sebahagian fuqaha’ “kekayaan itu harus berada di
tangannya, tidak tersangkut di dalamnya hak orang lain, dapat ia menggunakannya
dan faedahnya dapat dinikmati”
Hikmah ditetapkan syarat tersebut :
Hikmah ditetapkan syarat milik sempurna ini adalah kerana pemilikan adalah
nikmat yang paling besar sekali. Ia berkait rapat dengan syarat yang kedua dalam
syarat wajib zakat iaitu merdeka. Ini kerana pemilikan melambangkan seseorang
itu merdeka dari sudut sosial kehidupannya berbanding seorang hamba tidak mampu
memiliki harta kerana hal keadaannya sebagai hamba. Pemilikan juga membezakan
kelebihan yang diberikan Allah swt kepada manusia berbanding binatang kerana
keupayaan untuk memiliki harta kekayaan yang ada. Dengan kekayaan itu dapatlah
manusia memenuhi segala keperluan hidup mereka seharian.
Dengan pemilikan itu juga membuatkan manusia dapat menggunakan, menanam
dan mengembangkan kekayaannya sendiri atau melalui orang lain. Nikmat besar yang
diberikan ini membuatkan manusia seharusnya berterima kasih
kepada Yang Maha Mengurniakan dan wajarlah apabila Islam mewajibkan
pemilik harta kekayaan ini berzakat dan dan mengeluarkan hak kekayaan yang
dimilikinya kepada golongan yang berhak menerima sebagai tanda kesyukuran dan
penghambaan kepadaNya.
Harta kekayaan yang tidak mempunyai pemilik tertentu :
Berdasarkan penerangan di atas, kekayaan yang tidak mempunyai pemilik (yang
dimaksudkan ialah pemilik yang khusus), maka kekayaan itu tidak wajib dizakatkan.
Sebagai contoh harta kekayaan pemerintah yang berasal dari hasil kutipan zakat
atau hasil pendapatan seperti cukai atau sumber-sumber lain untuk kepentingan
rakyat, Ini kerana kekayaan itu tidak ada pemilik khususnya dan ia adalah milik
seluruh rakyat termasuklah orang-orang miskin.
Harta haram tidak wajib zakat :
Harta kekayaan yang diperoleh dengan cara yang tidak baik dan haram tidak
termasuk dalam harta yang diwajibkan zakat. Sebagai contoh kekayaan yang
diperoleh dari cara perampasan, pencurian, penipuan, penyogokan, riba dan
lain-lain yang diperoleh dengan cara yang tidak benar dan melanggar syarak.
Hakikatnya, kekayaan yang diperoleh secara tidak sah dianggap bukan harta milik
seseorang itu sekalipun seseorang
itu mencampurkan ke dalam kekayaannya yang sah sehingga tidak mampu untuk
dipisah-pisahkan di antara kedua-duanya.
Para ulama berkata bahawa seandainya sesuatu kekayaan yang diperoleh
dengan cara tidak sah dan kotor cukup nisabnya, maka zakat tidaklah wajib ke
atas kekayaan itu. Ini berdasarkan kepada hadis shahih Nabi saw bersabda yang
bermaksud :
“Tidak diterima sedekah (zakat) dari kekayaan yang ghulul”
“Ghulul”
bererti kekayaan yang diperoleh secara tidak sah dari kekayaan umum.
WALlahu’alam.
|