|
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
‘CUKUP NISAB’
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEEMPAT BELAS
CUKUP NISAB
Dalam Islam, kewajipan menunaikan zakat tidak dinilai daripada sejauh
mana kekayaan seseorang, tetapi sebaliknya ia dinilai daripada sejumlah tertentu
dari harta yang telah mencapai jumlah ditetapkan yang disebut sebagai ‘nisab’.
‘Nisab’ seperti mana yang diterangkan hadis Rasulullah s.a.w
yang menyebut tentang kewajipan mengeluarkan zakat ke atas
unta yang mencapai jumlah lima ekor serta kambing yang berjumlah empat
puluh ekor. Bilangan unta dan kambing tersebut wajib dikeluarkan zakat ke
atasnya kerana telah cukup ‘nisab’. Begitu juga tanaman (seperti padi bagi di
negara ini) adalah sebanyak 5 ausuq yang bersamaan dengan 400 gantang Baghdad.
Syeikh Dahlawi telah menjelaskan berkenaan hikmah ditentukan nisab ini
berdasarkan kata-katanya seperti berikut, “Ditetapkan 5 ausuq bijian dan
kurma itu kerana ianya bersesuaian dengan
keperluan minimum dalam sesebuah rumah tangga untuk tempoh setahun. Dalam
sebuah keluarga, terdapat suami, isteri, dan anak-anak dan jumlah makanan asasi
yang dimakan oleh sesebuah keluarga adalah satu gantang atau satu kati beras
sahaja bagi setiap seorang. Jumlah yang dimakan tersebut sudah mencukupi bagi
tempoh setahun dan lebihan dari itu mungkin dijadikan simpanan atau lauk-pauk
dan lebihan inilah yang akan dikenakan zakat. Bagi wang perak pula, wajib
dikeluarkan zakat apabila beratnya menyamai atau melebihi 595g atau 176
mayam(200 dirham). Jumlah tersebut adalah mencukupi untuk keperluan sesebuah
keluarga dalam tempoh setahun dan zakat yang dikeluarkan tidak sedikit pun
menjejaskan keperluan atau merugikan sesebuah keluarga.
Manakala jumlah unta yang wajib dizakatkan ialah apabila jumlahnya
sebanyak 5 ekor dan ke atas. Bagi 5 ekor unta, jumlah zakatnya adalah sebanyak 1
ekor kambing. Walaupun dari segi prinsipnya, zakat itu perlu dibayar dari jenis
yang sama dengan apa yang dizakatkan sebagai contoh unta perlu dibayar dengan
unta, tetapi unta merupakan binatang yang terlalu banyak manfaatnya yang mana
kita boleh gunakannya sebagai makanan, diambil susunya, kulitnya dijadikan
pakaian dan sebagainya. Oleh sebab itulah, zakat bagi unta digantikan bayarannya
dengan kambing dengan tujuan untuk mengurangkan beban pemilik unta tersebut.
Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa sesuatu harta itu haruslah cukup
nisabnya untuk dikenakan zakat kecuali dalam hasil tanaman, buah-buahan, emas,
dan perak. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa setiap tanaman harus dikenakan
zakat sebanyak sepuluh peratus walaupun jumlah tanamannya sedikit atau banyak.
Begitu juga pendapat daripada Ibnu Abbas, Umar bin Abdul Aziz dan lain-lain,
bahawa dalam 10 ikat hasil tanaman, harus dikeluarkan zakat sebanyak satu ikat
(10%) dari tanaman tersebut. Walau bagaimanapun, jumhur ulama berpendapat bahawa
nisablah yang merupakan penentuan bagi sesuatu kekayaan itu untuk dikenakan
zakat tidak kiralah sama ada kekayaan itu hasil daripada tumbuhan di tanah
ataupun bukan. Pendapat jumhur ulama ini adalah bersandarkan kepada hadis
Rasulullah s.a.w iaitu “ Di bawah lima ausaq, tidak ada zakatnya”.
Berdasarkan kepada hadis ini, para ulama membuat kiasan dengan
kekayaan-kekayaan yang lain seperti binatang ternakan, wang dan barang-barang
perniagaan.
Hikmah ditentukan kadar nisab ini jelas menunjukkan bahawa, zakat
merupakan cukai atau perolehan yang dikenakan ke atas orang yang memiliki
kekayaan untuk membantu orang miskin dan untuk pembangunan Islam secara
keseluruhannya. Oleh sebab itulah zakat dikenakan kepada orang yang mampu sahaja
dan tidak dikenakan kepada orang yang tidak berkemampuan. Hal ini berdasarkan
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
‘Tidak dikenakan zakat melainkan hanya kepada
orang kaya’
|