|
SYARAT-YARAT ATAS
HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
‘LEBIHAN HARTA DARI KEPERLUAN BIASA’.
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b.
Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan
Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat
Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KELIMA BELAS
LEBIHAN HARTA DARI
KEPERLUAN BIASA
Sebahagian ulama-ulama fiqh berpendapat bahawa zakat hanya diwajibkan ke atas
harta kekayaan yang berlebihan daripada keperluan biasa pemiliknya. Contohnya
ialah harta yang berlebihan setelah ditolak dengan perbelanjaan harian. Hal ini
kerana, menurut mereka, harta yang berlebihan inilah yang dipanggil sebagai
kekayaan dan membolehkan seseorang itu menikmati kemewahan dan lebihan ini wajib
dikenakan zakat. Menurut mereka, keperluan harian mesti dipenuhi terlebih dahulu
contohnya makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Sekiranya seseorang
hanya sekadar mampu untuk menyara keperluan harian sahaja, maka dia tidak dikira
sebagai orang yang hidup mewah kerana keterbatasannya untuk bermewah-mewah dan
ini tidak melayakkannya untuk mengeluarkan zakat dari lebihan hartanya.
Walaubagaimanapun, ada sesetengah ulama yang terdiri dari ulama mazhab Hanafi,
tidak meletakkan penentuan ini (lebihan harta dari keperluan biasa) sebagai
suatu penentu sesuatu harta itu dikenakan zakat. Menurut mereka yang berpendapat
sedemikian, harta yang digunakan untuk kegunaan harian seperti pakaian, rumah,
makanan tidak boleh dikira sebagai harta yang berkembang kerana ianya dikira
sebagai harta rutin untuk kegunaan peribadi.
Menurut mereka (ulama
mazhab Hanafi), keperluan harian merupakan sesuatu yang besifat peribadi dan
tidak boleh dicabuli sewenangnya. Islam begitu menjaga kepentingan individu dan
tidak sesiapa pun boleh melanggarnya sesuka hati. Menurut mereka, sesuatu harta
itu boleh dikira berlebihan sekiranya lebihan dari harta itu dapat diniagakan
supaya apa yang dimaksudkan dengan pertumbuhan itu wujud. Sekiranya tidak wujud
sebarang pertambahan, maka harta itu tidak boleh dikenakan zakat.
Landasan bagi mereka yang berpendapat lebihan harta dari keperluan biasa sebagai
penentuan dikenakan zakat berdasarkan Al-Quran dan Hadis :
1. Sebahagian ulama
menetapkan syarat bahawa “lebihan harta dari keperluan biasa” adalah syarat
untuk harta dikenakan zakat
berdasarkan kepada hadith daripada Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad
dalam musnadnya yang bersumber daripada Abu Hurairah iaitu:
“Zakat hanya dibebankan
di atas bahu orang yang kaya”.
Imam Bukhari pula
meriwayatkan hadith tersebut dalam kitabnya Sahih Bukhari dalam bab
“Nasihat-nasihat” pada bab yang berkaitan dengan zakat. Bagi orang yang
mempunyai keluarga yang sangat memerlukan harta, atau mempunyai hutang yang
harus dibayar, maka hutang itu lebih penting dibayar daripada dikenakan zakat.
2. Dalil lain yang
menunjukkan “Harta yang lebih dari keperluan biasa” wajib dikenakan zakat ialah
berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu
Muhammad tentang apa yang akan mereka nafkahkan. Katakanlah, “Yang lebih dari
keperluan”.
Menurut Ibnu Abbas, maksud
perkataan “Yang lebih dari keperluan” dalam surah al-Baqarah itu
ialah sesuatu yang lebih dari keperluan keluarga (lebihan harta).
Dalam hal ini, kita dapat
melihat bahawa Allah yang maha bijaksana telah menetapkan bahawa hanya harta
yang berlebihan sahaja yang akan dikenakan zakat manakala harta yang digunakan
untuk peribadi seperti makan, pakaian, dan tempat tinggal langsung tidak
diganggu gugat.
3. Ibnu Kathir pula
menyatakan bahawa syarat “Harta yang lebih dari keperluan biasa” akan dikenakan
zakat berdasarkan kepada satu lagi hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Jarir
dengan sanadnya daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Seorang lelaki telah
berkata, “Saya mempunyai wang sebnyak satu dinar wahai Rasulullah.” Rasulullah
menjawab, “Berikanlah kepada dirimu sendiri.” Ia bertanya lagi, “Saya mempunyai
wang lagi.” Nabi menjawab, “Berikanlah kepada isterimu”, Ia bertanya lagi. “Saya
masih mempunyai wang lagi”. Rasulullah menjawab, “Berikanlah kepada anakmu”. Ia
bertanya lagi, “Saya masih mempunyai wang lagi”. Rasulullah menjawab, “Ini
bererti kau telah mempunyai kelapangan”.
|