|
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
‘BEBAS DARI HUTANG’
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEENAM BELAS
BEBAS DARI HUTANG
Apa yang dimaksudkan dengan pemilikan sempurna ialah
sesuatu harta itu haruslah melebihi dari keperluan asas seperti pakaian, makanan,
dan tempat tinggal dan ia seharusnya cukup nisab dan bebas dari hutang.
Sekiranya semua syarat ini dipenuhi, barulah harta itu diwajibkan zakat
keatasnya. Bagi seseorang yang menanggung beban hutang yang mana hutang itu
mengurangkan nisabnya, maka hutang itu haruslah dibayar terlebih dahulu sebelum
harta itu boleh dikira sebagai harta yang wajib dizakatkan. Walaubagaimanapun,
terdapat segelintir ulamak yang berbeza pendapat dalam memahami konsep “harta
yang diwajibkan zakat” ini. Faktor perbezaan pendapat ini adalah kerana mereka
memahami erti zakat, cara pembayaran zakat dan sebagainya secara berbeza.
Terdapat dua pendapat ulamak dalam memahami perkara ini.
Pandangan yang pertama terdiri daripada ulamak yang berpandangan bahawa zakat
adalah hak fakir miskin. Zakat tidak diwajibkan ke atas orang yang memiliki
hutang kerana mereka berpendapat hak orang yang menerima hutang adalah lebih
utama daripada hak orang miskin untuk menerimanya. Kekayaan itu sebenarnya
adalah hak milik orang yang menerima hutang dan bukannya hak orang yang
berhutang.
Pendapat yang kedua adalah ulamak yang mengatakan bahawa
zakat merupakan suatu ibadat yang dikenakan ke atas orang yang memiliki kekayaan
walaupun orang itu mempunyai hutang. Hal ini kerana, menurut mereka, kekayaan
seseorang merupakan syarat yang menyebabkan seseorang itu wajib membayar zakat
walaupun ia berhutang. Mereka berpandangan bahawa dalam hal tersebut, bertemu
dua kepentingan iaitu hak Allah dan hak manusia, justeru hak Allah haruslah
didahulukan iaitu dengan membayar zakat.
Menurut Ibnu Rushd pula, beliau berpandangan bahawa beban
membayar zakat haruslah digugurkan kepada orang yang memiliki hutang. Pandangan
beliau ini didasari oleh nas-nas yang kuat, dan dasar syariat mengenai kekayaan,
baik kekayaan yang kukuh ataupun tidak. Pandangan beliau adalah seperti berikut:
1.
Hak milik orang yang berhutang itu sebenarnya adalah lemah. Hal ini kerana
orang yang menerima hutang mempunyai hak ke atas harta tersebut dan boleh
memintanya pada bila-bila masa sahaja. Menurut mazhab Hanafi, orang yang
menerima hutang berhak mengambil semula hartanya daripada “si berhutang” dalam
bentuk apa sekalipun asalkan nilainya sama dengan hutang yang harus dibayar
kepadanya. Sebagaimana yang diketahui, kita telah sedia maklum bahawa syarat
harta yang wajib dizakatkan ialah harta tersebut merupakan milik penuh
pemiliknya. Dalam hal ini, harta tersebut bukanlah milik penuh pemiliknya kerana
sebahagian hartanya adalah hak milik orang yang menerima hutang.
2.
Orang yang paling layak untuk dikenakan zakat ialah orang yang menerima
hutang tersebut. Hal ini kerana, hutang itu merupakan harta miliknya dan dia
berhak ke atas harta tersebut. Ini merupakan pendapat jumhur ulamak. Sekiranya
hutang itu harus dibayar oleh orang yang berhutang, hal ini akan menyebabkan
satu kekayaan akan dizakatkan sebanyak dua kali dan akan menyebabkan pertindihan
yang dilarang oleh syarak.
3.
Orang yang berhutang merupakan orang yang layak menerima zakat kerana dia
termasuk dalam kategori orang yang miskin. Oleh sebab itulah ia tidak dikenakan
zakat. Mana mungkin seseorang yang layak menerima zakat diwajibkan zakat ke
atasnya.
4.
Sedekah hanya diwajibkan ke atas orang yang kaya sahaja sebagaimana yang
disebut dalam hadis Rasulullah s.a.w. Orang yang berhutung tidak tergolong dalam
orang yang memiliki kekayaan kerana dia wajib menjelaskan hutangnya terlebih
dahulu yang boleh menyiksakan jiwanya kerana terpaksa memikirkan hutangnya siang
dan malam.
5.
Secara umumnya, kewajipan menunaikan zakat bertujuan untuk membantu
orang-orang yang berada dalam kesulitan. Orang yang berhutang merupakan orang
yang berada di dalam kesulitan. Sekiranya dia diwajibkan untuk membayar zakat,
sudah tentu keadaan ekonominya akan bertambah buruk. Justeru tidak adil
sekiranya kesusahan seseorang
diabaikan semata-mata untuk menutup kesusahan orang lain. Rasulullah bersabda
dalam hadithny yang bermaksud:
“Dahulukan dirimu, kemudian barulah orang yang berada
dibawah tanggunganmu”
Syarat-syarat hutang yang menggugurkan kewajipan zakat
Syarat yang tidak ada perselisihannya di kalangan ulamak ialah apabila
sesuatu hutang itu mengurangi atau menghabiskan jumlah nisab. Sebagai contohnya
ialah, jika seseorang mempunyai wang sebanyak RM1000, sedangkan hutangnya lebih
dari itu, maka hutangnya itu telah mengurangkan nisab dan wang itu tidak
dikenakan zakat ke atasnya.
|