|
SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT DAN JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian
Pertama –Zakat Fitrah)
Disusun Oleh :
Us.
Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT
KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KETUJUH BELAS
SYARAT SAH MENUNAIKAN ZAKAT
Niat
Ulama telah bersependapat mengatakan bahawa sah zakat dengan niat yang
disertakan semasa mengeluarkannya. Ulama telah
bersependapat mengatakan bahawa niat adalah menjadi syarat penunaian zakat. Ini
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
Sesungguhnya setiap amalan itu hendaklah disertakan dengan niat.
Menunaikan zakat ialah suatu
pekerjaan. Sementara zakat ialah suatu ibadah, sama seperti sembahyang. Oleh itu
ia memerlukan niat untuk membezakan di antara wajib dengan sunat. Ulama
As-Syafii mengatakan wajib niat dengan
hati dan tidak disyaratkan melafazkannya. Oleh itu orang yang mengeluarkan zakat
hendaklah berniat seperti : “Ini zakat hartaku”. Tidak mengapa jika tidak
disebut fardu (wajib), kerana zakat sememangnya fardu (wajib).
Memberi Milik (At-Tamlik)
Untuk sahnya pemberian zakat disyaratkan “memberi milik”, iaitu dengan cara
diberi kepada orang yang berhak. Oleh itu tidak memadai (tidak sah) setakat
memberi guna (ibahah) atau setakat memberi makan tetapi ia mestilah dengan cara
memberi milik.
Syarat pemberian milik ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nur
ayat 56 yang bermaksud
:
.....Keluarkanlah zakat.
Kalimah Al-Ita’ bermakna tamlik yang
bermaksud memberi milik.
JENIS-JENIS ZAKAT
-
Zakat Badaniah atau Zakat Fitrah
-
Zakat Maliah atau Zakat Harta
PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
Zakat fitrah ialah zakat
diri yang difardukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim
yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
SYARAT WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga
atau tanggungannya ialah :
1.
Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan
tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2.
Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup
selepas terbenam matahari.
3.
Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan
berkekalan Islamnya
4.
Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
KEWAJIPAN ZAKAT FITRAH MENGIKUT KEMAMPUAN
Wajib zakat fitrah bagi mereka yang berkemampuan dengan sebab memiliki
lebihan makanan atau hartanya pada 1 Syawal. Sebagai contoh individu yang
mempunyai lima orang anak tetapi hanya mampu untuk seorang sahaja, maka wajib
dikeluarkan fitrah untuk dirinya sahaja berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w yang
bermaksud :
“...... mulailah dengan dirimu, kemudian jika ada lebihan maka berilah
untuk ahlimu....”
KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi
daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Nabi
s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry yang bermaksud :
“... Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah s.a.w sering
mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang kecil dan besar, merdeka atau
hamba, satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau
satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat
demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan
ibadah haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar,
maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata : Saya berpendapat,
bahawa dua mud (cupak) gandum Syam menyamai satu Sho’ (gantang) tamar. Setelah
itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata : aku tetap
mengeluarkannya sebagaimana mulanya
(Hadis riwayat Muslim)
KADAR ZAKAT FITRAH
Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras
atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa
Agama Negeri-negeri.
WAKTU MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5 keadaan :
1.
Waktu wajib : iaitu apabila terbenamnya matahari akhir 30 Ramadhan sehingga
terbitnya matahari esoknya.
2.
Waktu paling afdal : Sebelum menunaikan solat Hari Raya Edul fitri.
3.
Waktu sunat : Sepanjang bulan Ramadhan.
4.
Waktu makruh : Selepas solat Raya Edul fitri sehingga terbenamnya matahari
pada satu Syawal.
5.
Waktu haram : Selepas terbenamnya matahari satu Syawal.
Walau bagaimanapun dinasihatkan supaya zakat fitrah
dikeluarkan bermula pada awal Ramadhan sehingga sebelum solat Edul fitri pada
satu Syawal bagi mengelakkan kesukaran kepada amil-amil yang mengutip zakat.
Berkenaan dengan waktu yang paling afdal dalam
mengeluarkan zakat fitrah, terdapat berbagai-bagai pendapat ulama, tetapi yang
pastinya ia dikeluarkan sebelum solat raya Edul fitri sebagaimana yang telah
dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah
seperti berikut yang bermaksud :
“...Maka sesiapa yang mengeluarkan (fitrah) sebelum
solat raya Edul fitri maka itulah zakat yang diterima dan sesiapa yang
mengeluarkannya selepa solat raya Edul fitri makan pengeluarannya itu
merupakan sebagai sedekah sahaja. (Hadis
riwayat Ibnu Majah)
|