|
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA (Bahagian Keempat –Zakat Emas Dan Perak)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEDUA PULUH
Emas dan perak merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah s.w.t. Ia
merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula
menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula
mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan
berkembang.
Dalam hal ini, zakat emas dan perak terbahagi kepada dua perbahasan iaitu atas
zat atau ‘ain emas dan perak itu sendiri sama ada dipakai atau disimpan dan
perbahasan kedua ialah zakat mata wang kerana sandaran mata wang pada zaman ini
asasnya kepada emas.
ZAKAT EMAS DAN PERAK
Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila telah sampai
nisab dan telah cukup haul setahun.
DALIL WAJIB ZAKAT EMAS DAN PERAK
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan ingatlah orang yang menyimpan emas dan perak, serta tidak membelanjakannya
di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan atau azab seksa
yang tidak terperi sakitnya".
(surah at-Taubah 34)
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Tidak ada seseorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan
zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api
neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya. Setiap
kali ia sejuk dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun
sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.
-Riwayat Muslim-
JENIS EMAS YANG DIWAJIBKAN ZAKAT
EMAS YANG DISIMPAN
Emas yang tidak dipakai bermaksud emas yang tidak digunakan atau dipakai
walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas yang dipakai menyamai atau
melebihi 85 gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%. sebagai
contoh, jika berat keseluruhan emas yang tidak dipakai itu seberat 90 gram
bernilai RM9500 maka zakatnya adalah : RM9500 x 2.5% = RM237.50
EMAS YANG DIPAKAI
Emas sama ada dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan
dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau
bagaimanapun jika ia melebihi 'uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar
2.5% atas lebihan dari nilai 'uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa
emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
NISAB DAN KADAR ZAKAT EMAS
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Tiada wajib atas engkau sesuatu (pada emas) sehingga engkau memiliki 20 dinar
(85gram). Apabila ada pada engkau 20 dinar dan cukup haul, maka wajiblah zakat
padanya 1/2 dinar (2.5%). Maka sekiranya lebih dari 20 dinar, hendaklah dihisab
menurut lebihannya itu 2.5% daripada keseluruhannya".
(Riwayat Abu Daud)
Nisab bagi emas ialah 85gm atau 20 miskal / dinar atau 25 mayam.
Apabila seseorang memiliki emas menyamai nisab semasa atau lebih dan telah cukup
haul (setahun) ia wajib mengeluarkan zakat. Ulama sepakat mengatakan bahawa emas
apabila cukup 20 misqal, maka wajib dikenakan zakat. Kadar zakat ialah rubu' al
'usyur iaitu satu perempat puluh (1/40) atau dua setengah peratus (2.5%).
Emas yang disimpan seberat 85gm dan telah mencukupi satu tahun, wajib
dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 % daripada nilai semasa emas tersebut (termasuk
juga emas yang rosak / patah)
Emas yang dipakai tidak diwajibkan zakat kecuali melebihi uruf. Kadar uruf
(kebiasaan pemakaian setempat) di Negeri Pahang ialah 200gm. Emas yang dipakai
yang melebihi uruf dikenakan zakat sebanyak 2.5 %. (berat yang melebihi uruf
sahaja).
CONTOH PENGIRAAN :
(Andaikan nisab semasa 85gm emas adalah RM 8,909.48)
Emas tersimpan seberat 90gm.
1gm emas
=
(RM 8,909.48
¸
85)
=
RM 104.82
90gm emas =
90gm x RM 104.82
=
RM 9,433.80
Zakatnya
=
RM 9,433.80 X 2.5%
=
RM 235.85
Emas yang dipakai seberat 300gm.
200gm
=
uruf pemakaian emas
300-200gm
=
lebihan daripada uruf
=
100gm
100gm emas =
100gm x RM 104.82
=
RM 10,482.00
Zakatnya
=
RM 10,482.00 X 2.5%
=
RM 262.05
NISAB DAN KADAR ZAKAT PERAK
Wajib zakat pada perak lima auqiyah ;
[ Satu auqiyah = 40 dirham. ( 5 x 40 = 200 dirham ) ] Ijmak' ulama' telah
menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gram.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"…tidak
diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq."
(Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud :
"Pada perak (zakatnya) 1/40…"
(Riwayat al-Bukhari)
Contoh Pengiraan Zakat Perak :
Andaian 1 gram perak
= RM 30.00
Perak yang dimiliki seberat 1,000 gram.
1,000 gram perak (lebihan 405 gm dari nisab)
1,000 x RM 30
= RM30,000
Zakat yang dikenakan ialah
: RM 30,000 X 2.5%
= RM 750.00
|