|
MENGELUARKAN ZAKAT HARTA SATU DARI RUKUN ISLAM
Disusun Oleh :
Unit Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT Pahang
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
SIRI PERTAMA
Zakat adalah salah satu asas bina ISLAM yang lima. Kepentingan zakat dalam ISLAM
digambarkan melalui kedudukannya yang merupakan rukun ISLAM yang ketiga iaitu
sesudah mengucapkan dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Ini telah
dirakamkan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud :
ISLAM dibina di atas lima asas : menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan
ALLAH dan bahawa Nabi Muhammad pesuruh ALLAH, mendirikan solat, menunaikan
zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan haji bagi sesiapa yang berkuasa
melaksanakannya. ( Hadis riwayat al-Bukhari )
Sebagai pengetahuan, perkataan zakat dalam bentuk ma’rifah (definisi)
telah disebut di dalam al-Quran sebanyak 30 kali, antaranya 27 kali disebut
bersama perkataan solat dalam satu ayat. Dari segi penurunan ayat-ayat zakat
ini, terdapat 8 kali disebut di dalam surah-surah yang diturunkan di Makkah dan
yang selebihnya telah disebut pada surah-surah yang diturunkan di Madinah.
Antara ayat-ayat yang disebut bersama perkataan solat dalam satu ayat, firman
Allah di dalam surah al-Baqarah, maksudnya : Dan dirikanlah solat dan
keluarkanlah zakat, dan setiap pekerjaan baik yang kami kerjakan untuk dirimu
nescaya akan kami dapati kembali nanti disisi tuhan dan sesungguhnya tuhan
melihat apa yang kamu kerjakan
( 110 : al-Baqarah )
ALLAH telah berfirman dalam mensifatkan hamba-hambaNya yang mukmin di dalam
surah al-Anfal, maksudnya : Mereka yang mengerjakan solat dan membelanjakan
setengah dari rezeki yang kami berikan kepada mereka, mereka itu lah orang-orang
yang sebenarnya beriman.
( 3-4 : al-Anfal )
Hadis Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa sesiapa yang tidak menunaikan zakat
hartanya, tidak boleh dianggap seorang mukmin yang sebenar.
“Barangsiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, maka hendaklah ia
menunaikan zakat hartanya.”
Dan ketahuilah juga bahawa orang yang solat, berpuasa dan telah menunaikan
hajinya, tetapi belum mengeluarkan zakat, nescaya ALLAH tidak akan menerima
solatnya dan puasanya serta hajinya sehingga ia mengeluarkan zakat sebab semua
perkara-perkara ini adalah bertalian satu dengan lain. ALLAH tidak akan menerima
dari hambaNya setengah ibadahnya sehingga ia sempurnakan kesemuanya.
PENGERTIAN ZAKAT
DARI SEGI BAHASA :
Zakat bererti ”BERSIH” , ”SUCI” , ”SUBUR”, ”BERKAT” dan ”BERKEMBANG”.
Pengertian ”BERSIH” dan ”SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan
membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti kata
yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap
orang kaya.
DARI SEGI SYARAK
Zakat dari segi syarak ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan
kepada golongan-golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang
tertentu
HIKMAH DISYARIATKAN ZAKAT
Hikmah dan tujuan ALLAH mensyariatkan zakat antaranya ialah :
1.
Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada
golongan yang kurang berada.
2.
Membersihkan diri pembayar zakat
3.
Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat
4.
Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH di
kalangan golongan yang berada
5.
Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan orang yang kurang bernasib baik
6.
Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH di samping perhubungan
antara manusia dengan manusia.
7.
Memberikan peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk
mengeluarkan zakat daripada harta mereka
8.
Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat ISLAM dalam urusan ekonomi dan
kewangan
9.
Memberikan masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai
oleh ALLAH
10.
Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat
|