|
SUMBER-SUMBER KUTIPAN ZAKAT
(Bahagian Terakhir)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KESEPULUH
Sebagai menyambung bicara pada keluaran lalu berkaitan dengan harta kekayaan
yang merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas
setiap Muslim yang memiliki kekayaan kerana harta itu merupakan rezeki yang
dianugerahkan Allah s.w.t. Ini dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran,
firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Berikanlah (melalui sistem zakat)kepada (hamba) segala harta yang dikurniakan
Allah s.w.t kepada kamu.”
(Surah an-Nisa’ 4:39)
Allah s.w.t juga berfirman yang bermaksud :
”Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan belanjakanlah (pada jalan
kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah s.w.t) yang
dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman antara
kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah
s.w.t): mereka tetap beroleh pahala yang besar.”
(Surah al-Hadid 57:7)
Allah s.w.t juga menjelaskan bahawa seseorang yang telah menunaikan kewajipan
zakat digolongkan sebagai seorang yang benar-benar Muslim dan bersaudara dalam
Islam.
Pada zaman Nabi s.a.w, sememangnya harta yang diwajibkan zakat terhad
kepada binatang ternakan, pertanian, emas dan perak sahaja, iaitu barangan yang
bernilai komersial dan berdaya maju di pasaran ketika itu. Analisis ilmiah patut
diterokai ke atas struktur dan klasifikasi harta yang diwajibkan zakat pada masa
Nabi Muhammad s.a.w supaya alasan atau 'illat kewajipan itu dapat
diterapkan ke atas pembangunan ekonomi pada masa kini. Sistem zakat jika
diselidik dengan lebih mendalam, tidak terdapat satu nas pun yang menghalang
atau melarang pertumbuhan zakat yang sedia ada kerana struktur zakat yang
berlaku pada masa Nabi s.a.w merupakan contoh iktibar (amthal), dan bukan
sebagai batasan (ihsar).
Berdasarkan maksud sebuah hadis : "tidak akan berkurangan sesuatu harta
disebabkan kewajipan zakat." Oleh itu kadar zakat antara 2.5% hingga 10%
sudah tentu tidak akan membebankan pembayar zakat. Ia tidak akan mengikis
kuantiti harta disebabkan bayaran zakat setiap tahun.
Zakat merupakan ibadah ta'abbudiyyah serta menjadi mekanisme
pembangunan sosial dan ekonomi ummah. Secara langsung, ia dikaitkan dengan
prinsip "daya maju" (an-Nama') secara aktif dalam bidang ekonomi. Ia juga
dijadikan satu 'illat atau prasyarat dalam sistem zakat. Dengan prinsip
ini, zakat boleh diperluaskan lagi kepada harta lain yang berdaya maju secara
semula jadi atau dimajukan dengan secara usaha. Wang atau sesuatu yang sehukum
dengannya merupakan harta yang berdaya maju.
Wang merupakan alat timbang tara dan piawaian. Justeru, tahap kekayaan
seseorang akan dinilai dengan perantaraan wang. Mengikut Ibnu Rusyd al-Qadi
(m.520H) : "Sesuatu kekayaan yang berdasarkan kepada emas dan perak atau
sesuatu yang dikaitkan dengan kedua-duanya merupakan modal untuk mencari
keuntungan dan bukan digunakan
sebagai barang pengguna semata-mata”. Dengan itu, logam dan sesuatu yang
sehukum dengannya dikaitkan dengan syarat berdaya maju oleh mazhab Maliki dan
mazhab Hanafi yang merupakan kumpulan terpengaruh
bagi mewajibkan sesuatu dikenakan zakat. Menurut kedua-dua mazhab
tersebut, si piutang tidak perlu berzakat kecuali setelah dilunaskan hutangnya
terlebih dahulu.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a (m.101H) berpendapat, harta yang
dipinjamkan (hutang tidak terbayar) dikategorikan sebagai harta hilang. Pendapat
ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w yang mengecualikan barang-barang kegunaan
peribadi. Baginda bersabda yang bermaksud : "Lembu yang digunakan untuk
membajak dan pengangkutan dikecualikan daripada zakat". Ali (m.40H), al-Hasan
al-Basri (m.110H), Mujahid (m.103H), an-Nakha'I (m.95H), Musa bin Talhah
(m.103H), Umar bin Abdul Aziz, az-Zuhri (m.123H), dan al-Layth bin Sa'ad
(m.175H), juga menyokong pengertian hadis tersebut. Golongan Ahl as-Sunnah
keseluruhannya menjadikan berdaya maju atau berkembangnya sesuatu harta itu
sebagai prasyarat kewajipan zakat. Oleh itu wajar bagi para pengkaji dan sistem
zakat menggunakan 'illat (sebab) an-Nama'. Sungguh menghairankan
jika pendapatan ahli profesional, pegawai awam, swasta dan anugerah atau hadiah
yang bernilai berjuta-juta ringgit dikecualikan daripada zakat, sedangkan mereka
mengaut keuntungan dan kekayaan yang besar.
Dasar haul dan sistem zakat memberi peluang kepada pemilik harta
mengembangkan hartanya sepanjang tempoh itu supaya mendapat keuntungan. Dengan
langkah itu, harta asal (modal) tidak hanya dijadikan barang pengguna atau untuk
membayar zakat yang mana ia akan susut sedikit demi sedikit. Meskipun harta
benda lain yang belum dikenakan zakat menjadi kewajipan dan tanggungjawab para
fuqaha yang kini membuat kajian semula serta menerokai bidang-bidang baru dalam
sistem zakat. Moga-moga pendekatan ini menjadi nadi bagi menghidupkan kembali
Sunnah. Rasulullah s.a.w bersabda, ertinya :
"Barang siapa yang menerokai sunnah hasanah (amalan kebaikan), maka pahalanya
adalah serupa dengan orang yang mengerjakannya tanpa terkurang sedikit pun.
Begitu juga sesiapa yang mempelopori sunnah sayyi'ah (amalan kejahatan), maka
akan mendapat dosa seperti penganutnya tanpa dikurangi sedikit pun."
(Hadis riwayat Muslim)
Zakat al-Mal al-Mustafad
Al-Mal al-Mustafad
merupakan
zakat ke atas harta benda yang diperoleh hasil daripada kerja dan usaha yang
dilakukan seseorang sama ada dalam bentuk gaji, upah, subsidi, elaun, pemindahan
dan lain-lain lagi. Zakat ini merupakan zakat yang telah lama diperkenalkan.
Daripada huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa al-Mal al-Mustafad
boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan iaitu :
-
Hasil daripada usaha perdagangan atau ternakan secara individu atau
bersyarikat, keuntungan jualan atau pembiakan ternakan atau dikira sebagai
al-Mal al-Mustafad. Pendapatan itu dicampurkan dengan modal induk dan
jumlahnya dikira bersama. Penambahan harta tersebut termasuk harta yang
boleh dikenakan zakat.
-
Pendapatan melalui ganjaran atau upah daripada sesuatu pekerjaan atau
perkhidmatan yang telah disempurnakan oleh ahli profesional tetapi tidak
termasuk dalam kategori perniagaan seperti upah doktor, akauntan, jurubina,
perunding cara, royalti dan lain-lain. Pendapatan mereka itu tidak termasuk
dalam struktur zakat yang sedia ada.
-
Pendapatan berasaskan kepada kerja bermajikan semata-mata yang mana menerima
bayaran upah atau al-Mal al-Mustafad
atau sagu hati atau sesuatu yang
seumpamanya daripada majikan. Pendapatan tersebut tidak termasuk dalam
struktur zakat yang sedia wujud.
-
Pendapatan berasaskan kepada keadaan kematian, perkahwinan dan tamat tempoh
perkhidmatan berupa hadiah, pusaka, subsidi atau yang dinamakan dengan
pendapatan pindahan dan lain-lain. Dalam hal ini, tidak terdapat nas yang
jelas dalam struktur kewajipan zakat yang sedia ada.
Waallahu a’lam.
|