|
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
“HARTA YANG BERKEMBANG” (BAHAGIAN PERTAMA)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEDUA BELAS
Sesuatu harta itu ditentukan kewajipan zakat ke atasnya berdasarkan kepada
sejauh mana berkembangnya harta tersebut sama ada ianya berkembang secara
sengaja ataupun tidak. Maksud “berkembang”
menurut bahasa ialah sesuatu harta yang memberikan keuntungan atau pendapatan
kepada seseorang. Harta itu juga dikira berkembang sekiranya
ia bertambah dengan sendiri sebagaimana yang dijelaskan oleh ahli fiqh.
Dari sudut istilah pula, takrif “berkembang”
boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulama.
Takrif yang pertama ialah “bertambah
dengan kukuh” iaitu bertambahnya harta melalui perkara-perkara seperti
pelaburan dan perdagangan. Takrif yang kedua pula ialah “bertambah
dengan tidak kukuh” iaitu sesuatu kekayaan yang mempunyai potensi untuk
berkembang dengan baik sama ada ianya berada di tangan tuannya sendiri ataupun
harta tersebut diamanahkan kepada orang lain.
MAKSUD DISYARATKAN KEKAYAAN ITU BERKEMBANG
Menurut Ibnu Humam, takrif “zakat” dan takrif
“zakat disyaratkan” adalah
sesuatu yang berlainan. Menurut beliau, takrif asal zakat ialah “pemberian
beban atas kekayaan” iaitu pemberian pertolongan kepada orang miskin
sejumlah harta yang datangnya daripada lebihan dari kekayaan seseorang ,di mana
pertolongan itu tidak akan membebankan pemberi harta tersebut. Mewajibkan zakat
ke atas harta yang bersifat “tidak
mungkin berkembang” mungkin akan mengakibatkan perkara yang tidak diingini
berlaku terutamanya jika ia terjadi saban tahun bilamana ia digunakan untuk
perbelanjaan sehari-hari. Oleh yang demikian, kita dapat melihat betapa benarnya
sabda Rasulullah s.a.w., “Tidak akan berkurangan kekayaan kerana zakat”.
Hal ini kerana zakat itu hanyalah sejumlah kecil dari harta yang wajib
dikeluarkan, hasil daripada jumlah kekayaan yang banyak, berkembang, dan
dimodalkan, di mana menurut sunnah Rasulullah pemberian itu tidak akan
mengurangkan harta seseorang walaupun sedikit.
ALASAN ULAMA MENETAPKAN SYARAT TERSEBUT
Ulama telah menetapkan syarat supaya sesuatu harta itu mestilah berkembang
untuk diwajibkan zakat ke atasnya. Penetapan syarat tersebut adalah berdasarkan
kepada hadis Rasulullah dan amalan para sahabat. Rasulullah tidak mewajibkan
zakat ke atas kekayaan yang digunakan untuk kepentingan atau kegunaan peribadi
seseorang sebagaimana yang ditegaskan oleh baginda di dalam hadisnya yang
bermaksud:
“Seorang Muslim tidak wajib mengeluarkan
zakat dari kuda atau budaknya”
Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini merupakan landasan yang menunjukkan bahawa
sesuatu harta yang bertujuan untuk kegunaan peribadi tidak diwajibkan zakat.
Rasulullah hanya mewajibkan zakat ke atas harta yang berkembang dan di laburkan
sahaja. Di Negara Arab dahulunya, kekayaan seperti ini ada bermacam jenis
antaranya ialah:
1- Ternakan yang di gembala seperti
unta, lembu/sapi, dan kambing
2- Wang emas dan perak di mana
sebahagian orang memperdagangkannya atau disimpan
3- Hasil pertanian dan buah-buahan
terutamanya makanan ruji seperti biji gandum, kurma, dan anggur.
4- Harta karun yang disembunyikan
oleh orang-orang terdahulu yang kemudiannya ditemui. Walau bagaimanapun, ulama
berselisih pendapat dalam mengkategorikan harta tersebut sama ada ianya
dikenakan zakat atau tidak.
Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa setiap harta yang berkembang hasil
daripada usaha seseorang wajib dikenakan zakat. Sebagai contohnya ialah ternakan
yang diusahakan berkembang kerana faktor-faktor seperti diberi rawatan, diberi
makan, kemudian melahirkan anak dan menghasilkan susu. Perkembangan ternakan ini
adalah bersifat semula jadi kerana ia bertambah banyak seiring dengan
pertambahan daging, susu, dan sebagainya.
Harta benda perdagangan yang mendatangkan keuntungan pula berkembang bukan
secara semula jadi. Hal ini kerana pelaburan memerlukan usaha seseorang untuk
menjana keuntungan dengan melakukan perkara-perkara seperti melaburkannya,
menjalankan perniagaan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ulama amat bersetuju
dengan usaha-usaha tersebut kerana melalui perdagangan akan dapat menghasilkan
pekerjaan dan memberikan keuntungan.
Islam melihat pengembangan harta seperti ini adalah halal dan amat baik. Selain
itu,wang juga merupakan kekayaan yang berkembang kerana ia merupakan pengukur
nilai barangan, alat perantara sesuatu transaksi, dan menjadi lambang sesuatu
barang. Apabila wang itu dilaburkan untuk urusan perniagaan, ia akan
mendatangkan keuntungan dan memberikan pulangan. Tetapi sekiranya wang itu hanya
disimpan dan tidak dilaburkan, maka penyimpannyalah yang bertanggungjawab kerana
telah membekukan harta tersebut dari memperoleh keuntungan. Islam tidak
menggalakkan umatnya untuk membekukan harta.
Justeru Islam telah mengelakkan pembekuan harta ini dengan mengenakan
zakat ke atas harta tersebut supaya ianya dapat kembali beredar di pasaran dan
dapat memberikan keuntungan kepada ekonomi umat Islam khususnya.
Syarat yang telah ditetapkan oleh ulama fiqh ini adalah berlandaskan kepada
petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah dan khulafa’ ar-Rashidin dan ianya amat
bertepatan dengan definisi zakat itu sendiri. Hal ini kerana zakat menurut
bahasa ialah berkembang. Harta yang dikeluarkan itu disebut zakat adalah kerana
jumlah zakat yang dikeluarkan itu pada akhirnya akan mendapat berkat dan
berkembang sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Sesuatu yang kalian berikan akan
dibalas berlipat kali ganda oleh Allah”
(Al-Quran 30:39)
Dari sudut pandangan yang lain pula, zakat itu sebenarnya hanya wajib
dikeluarkan daripada harta yang berpotensi untuk berkembang sahaja. Oleh sebab
itu, barangan yang digunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak mempunyai
potensi untuk dikembangkan tidak diwajibkan zakat.
KEKAYAAN YANG TIDAK DAPAT DIKEMBANGKAN
Apabila sudah ditetapkan bahawa hanya harta yang berkembang sahaja yang
diwajibkan zakat, maka timbul persoalan adakah harta yang tidak dapat
dikembangkan wajib dikenakan zakat? Harta yang tidak dikembangkan ini dikhuatiri
akan habis sekiranya digunakan setiap hari. Untuk menjawab persoalan ini, kita
perlu melihat kepada faktor kenapa harta itu tidak dapat dikembangkan. Terdapat
dua faktor yang memungkinkan harta itu tidak dapat berkembang iaitu pertamanya
adalah kerana memang kerana harta itu tidak dapat dikembangkan dan faktor yang
keduanya adalah kerana kelemahan pemiliknya sendiri.
Mengikut faktor yang pertama, harta tersebut memang tidak dapat
dikembangkan mungkin disebabkan harta itu dicuri oleh orang lain, ataupun harta
tersebut mungkin tertanam di tempat yang tidak diketahui atau lainnya yang mana
perkara tersebut memang di luar kekuasaan pemilik dan faktor inilah yang
menjadikan zakat tidak diwajibkan ke atas harta tersebut. Tetapi sekiranya harta
itu tidak dikembangkan berpunca daripada kelemahan pemiliknya, maka Islam tidak
dapat memaafkan individu terbabit. Oleh sebab itulah, Islam menetapkan orang
seperti ini wajib juga mengeluarkan zakat tanpa mengira apa pun alasan yang
menyebabkan dia tidak mengembangkan harta tersebut.
Hal ini kerana, setiap Muslim dituntut untuk mengembangkan harta dan
kekayaannya melalui pelbagai cara yang dihalalkan untuk mengembangkannya, baik
dengan menguruskannya sendiri ataupun bekerjasama dengan orang lain.
Seseorang Muslim tidak seharusnya merasa tidak yakin kepada diri untuk melakukan
sesuatu perkara tetapi sebaliknya dia haruslah bersedia dan berkeyakinan untuk
menghadapi segala rintangan. Perasaan tidak berupaya melakukan sesuatu menurut
Islam tidak boleh dijadikan alasan untuk membebaskan pemilik kekayaan dari
kewajipan berzakat, tetapi sebaliknya harus dijadikan cabaran untuk meningkatkan
prestasinya. Oleh sebab itu, terdapat hadis yang mana Rasulullah telah berdoa
supaya terhindar dari ketidakupayaan, melarang perbuatan tersebut, dan tidak
menyukai orang yang mempunyai sifat tersebut.
Sebagaimana sabda Rasulullah di dalam sahih Bukhari yang bermaksud:
“Ya Allah aku berlindung kepada mu
dari tidak berdaya dan kemalasan”.
Hadis riwayat Abu Hurairah:
“Kejarlah segala yang memberi keuntungan kepada mu, minta tolonglah
kepada Allah, dan janganlah kau merasa tidak berdaya”.
(Bersambung pada siri yang akan datang)
|