|
SYARAT-SYARAT ATAS HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
“HARTA YANG BERKEMBANG” (BAHAGIAN TERAKHIR)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KETIGA BELAS
SEMUA KEKAYAAN YANG BERKEMBANG MERUPAKAN SUBJEK ZAKAT
Daripada ketentuan yang telah dibuat oleh ulamak, jelaslah kepada kita
bahawa harta yang berkembang secara semula jadi akan menjadi subjek atau sumber
zakat.Walaupun Rasulullah tidak pernah menegaskan secara jelas kewajipan
mengeluarkan zakat dengan sebab berkembangnya harta, tetapi hal itu dapat kita
simpulkan daripada pernyataan umum dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Hal ini berbeza dengan pendapat segelintir ulamak yang berpandangan
terlalu tertutup yang mengatakan bahawa zakat hanya dikenakan ke atas harta yang
disebut di dalam hadith nabi sahaja. Harta yang selain dari hadith Nabi adalah
tidak dikenakan zakat menurut pendapat mereka. Antara ulamak yang berpendapat
seperti ini ialah Ibn Hazam. Di dalam
al-Muhalla, Ibn Hazam menyatakan bahawa
jenis harta yang dikenakan zakat hanya ada lapan berdasarkan kepada hadith
Rasulullah iaitu, unta, lembu, kambing, gandum, biji gandum, kurma, emas dan
perak. Menurut beliau lagi, harta lain yang tidak dinyatakan oleh Rasulullah
seperti anggur dan lainnya tidak dikenakan zakat. Justeru itu, menurut pendapat
Ibn Hazam lagi, kekayaan dari jenis haiwan yang dikenakan zakat hanya ada tiga
jenis iaitu unta, lembu, dan kambing sahaja. Manakala harta yang berada dalam
kategori pertanian pula hanyalah gandum, biji gandum, dan kurma sahaja. Bagi
kategori logam yang berharga pula, hanya emas dan perak yang akan dikenakan
zakat.
Walaupun terdapat ulamak yang berpendirian agak tertutup seperti Ibn
Hazam, terdapat juga segelintir ulamak lain yang berfikiran lebih luas
sehinggakan mereka menyatakan bahawa segala harta yang berkembang akan dikenakan
zakat. Ulamak fiqh yang berpendapat sebegitu antaranya ialah Imam Abu Hanifah.
Beliau berpendapat bahawa segala usaha pertanian yang berfaktorkan keuntungan
haruslah dikenakan zakat tanpa mngira dari jenis apakan pertanian tersebut.
Beliau juga mewajibkan zakat ke atas kuda tunggangan dan barangan perhiasan
tetapi kewajipan tersebut hanya dibebankan keatas orang dewasa sahaja tidak
termasuk kanak-kanak dan orang gila.
Pendapat Ibnu Hazam dan ulamak yang sealiran pendapat dengannya seperti
Syaukani, dan Sadiq Hasan Khan adalah didasari oleh beberapa alasan iaitu:
1.
Kekayaan kaum muslimin harus dijaga kehormatannya sebagaimana yang telah
dijelaskan oleh nas-nas al-Quran dan Hadith. Justeru itu, tidak boleh diambil
harta kaum Muslimin dengan sewenangnya tanpa ada nas yang membenarkannya.
2.
Zakat merupakan perintah agama. Menurut pendapat Ibnu Hazam, asal sesuatu
perintaah dalam agama adalah bebas dari melakukan sesuatu kecuali terpadat
dalil-dalil yang mewajibkannya. Mengenai kaedah “Qias”
pula Ibnu Hazam menyatakan ia tidak boleh digunakan terutamanya dalam masalah
yang berkaitan dengan zakat.
Walau bagaimanapun, kita (pandangan Dr Muhammad Yusuf al-Qardhawi) mempunyai
pendapat yang begitu berbeza dengan pendapat Ibnu Hazam dan ulamak yang sealiran
dengannya. Pandangan kita ini adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip lain
yang begitu berbeza dengan prinsip di atas. Pendapat ini adalah seperti berikut:
1.
Kandungan al-Quran dan hadis menegaskan bahawa setiap kekayaan terdapat di
dalamnya hak orang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang didalam kekayaan mereka terkandung hak tertentu orang lain”.
Selain itu Rasulullah pernah bersabda:
“Khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan zakat atas kekayaan mereka
yang dipungut dari orang-orang kaya dan dikembalikan kepada orang-orang miskin
dari kalangan mereka”.
Juga Hadith yang bermaksud:
“Bayarlah zakat kekayaan kamu”
2.
Semua orang kaya perlu membersihkan dan mensucikan diri mereka. Cara
membersihkan diri ini adalah dengan mengorbankan harta dan mensucikan diri dari
sifat bakhil dan sifat mementingkan diri sendiri.Oleh sebab itulah Allah
berfirman yang bermaksud:
“Pungutlah zakat dari kekayaan mereka, engkau bersihkan dan sucikan mereka
dengan zakat tersebut”.
Pembersihan dan penyucian jiwa ini tentulah tidak adil sekiranya hanya
diwajibkan kepada golongan petani khususnya petani gandum seperti yang
dinyatakan oleh Ibnu Hazam.
3.
Semua kekayaan adalah perlu dibersihkan daripada kotoran-kotoran yang mungkin
tersangkut ketika mana seseorang berusaha mencarinya (kekayaan). Cara
membersihkan kekayaan itu ialah dengan mengeluarkan zakat. Hal ini sebagaimana
yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah melalui Ibnu Umar, bahawa Allah
mewajibkan zakat sebagai alat untuk membersihkan kekayaan. Selain itu terdapat
juga hadith yang lain berkenaan membersihkan kekayaan ini sebagaimana sabda
Rasulullah yang bermaksud:
“Bila engkau membayar zakat kekayaan, maka bererti engkau telah membuang yang
tidak baik darinya”.
Oleh sebab itulah, tidak logik sekiranya pembersihan kekayaan itu hanya terbatas
kepada lapan jenis kekayaan sahaja sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Hazam.
4.
Tujuan zakat diwajibkan adalah kerana untuk membantu fakir miskin , orang-orang
yang berhutang, para musafir, untuk membantu mereka yang berjihad dijalan Allah,
mengambil hati orang yang baru memeluk Islam, membantu orang-orang yang
berhutang supaya persahabatan tidak rosak dan lain-lainnya untuk kemaslahatan
umat Islam.
Menjaga kemaslahatan umum itu merupakan kewajipan setiap umat Islam terutamanya
mereka yang mempunyai kekayaan. Amat tidak adil sekali sekiranya agama
membebankan kewajipan berzakat hanya kepada orang yang memiliki unta,kambing dan
lembu sahaja. Sedangkan kemaslahatan umat Islam haruslah dijaga bersama. Tidak
adil juga sekiranya orang-orang yang memiliki gedung kain yang besar atau
pegawai-pegawai yang berpendapatan tinggi tidak membantu dalam menjaga
kemaslahatan umat Islam (tidak membayar zakat).
Prinsip Islam mengenai kekayaan ialah “sesungguhnya
segala kekayaan itu adalah hak milik Allah, sedangkan manusia hanya penerima
amanah dari pemiliknya yang asal iaitu Allah. Saudara mara yang miskin dan
orang-orang yang serba kekurangan pula mempunyai hak dalam kekayaan itu dan
mereka dilihat dari segi sesungguhnya mereka juga merupakan anggota keluarga
Allah”.
5.
Menurut jumhur ulamak, qias merupakan salah satu sumber hukum sekalipun ianya
tidak diterima oleh Ibnu Hazam dan ulamak-ulamak bermazhab Zahiri. Justeru itu,
jumhur ulamak berpendapat bahawa perlu diqiaskan semua harta yang berkembang
dengan kekayaan yang dikeluarkan zakatnya oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat
baginda.
Kita berpendirian tegas bahawa Islam tidak membezakan di antara dua perkara yang
sama dan sebaliknya tidak menyamakan dua perkara yang berbeza. Bagi kita, zakat
yang diqiaskan itu merupakan suatu ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah
dan ianya bukanlah sesuatu perkara yang diada-adakan (bida’h).
6.
Kita juga tidak mencabuli kesucian harta seseorang muslim bahkan sebaliknya
begitu menjaga hak peribadi
seseorang muslim. Kita berpendapat bahawa di dalam sesuatu kekayaan terdapatnya
hak Allah atau dalam erti kata lain hak orang yang memerlukannya seperti fakir
miskin. Ibnu Hazam sendiri pernah menegaskan supaya pemerintah berhak memaksa
rakyatnya untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Golongan
miskin pula tidak seharusnya membiarkan diri mereka ditindas dengan hanya
membiarkan sahaja hak-hak mereka tidak diberikan (zakat).
Walaupun begitu, masih terdapat keraguan yang mengatakan bahawa Rasulullah tidak
mengambil zakat daripada harta yang berkembang pada zaman baginda. Dalam
menjawab persoalan ini, saya melihatnya daripada dua sudut. Yang pertamanya
ialah, kerana pada zaman Rasulullah terlalu sedikit harta yang boleh
dikembangkan. Oleh sebab itu, Rasulullah tidak meminta zakat daripada mereka
dengan tujuan untuk memberikan keringanan dan menggalakan umat Islam di zaman
baginda untuk lebih berusaha. Yang keduanya adalah kerana umat Islam di zaman
Rasulullah begitu kuat iman mereka. Walaupun Rasulullah tidak pernah mengenakan
zakat kepada mereka, tetapi dengan iman mereka yang kuat telah memberikan
kesedaran kepada mereka untuk menyedekahkan harta mereka kepada yang memerlukan.
Mereka menyedari bahawa di dalam setiap kekayaan yang dimiliki, terkandung di
dalamnya hak-hak orang lain yang mana harta tersebut perlu dibersihkan dengan
memberikannya kepada mereka yang memerlukan.
|