|
PERINGATAN KERAS DARI ALLAH DAN RASUL TERHADAP ORANG YANG TIDAK MEMBAYAR
ZAKAT HARTA
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEDUA
Nabi Muhammad s.a.w telah menegaskan semasa baginda s.a.w berada di Madinah
bahawa zakat adalah satu perkara yang wajib ditunaikan serta menjelaskan
kedudukan zakat di dalam Islam. Baginda s.a.w menegaskan bahawa zakat adalah
salah satu dari rukun Islam yang utama, dipuji bagi orang yang melaksanakan
ibadah zakat ini dan diancam bagi orang yang tidak melaksanakannya dengan
berbagai-bagai ancaman sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Di dalam beberapa hadis yang berkaitan, Rasulullah s.a.w menerangkan tentang
ancaman kepada orang yang tidak membayar zakat harta dengan hukum berat di
akhirat moga-moga dengan ancaman ini, orang yang lalai dari melaksanakan ibadah
ini akan tersentak lalu terus melaksanakannya dan dapat mengikis sifat kikir dan
kedekut yang terpendam dalam hati mereka.
Kemudian dengan cara memberi pujian dan memberi rasa takut kepada seksaan yang
bakal diterima, baginda s.a.w mengajak umatnya agar melaksanakan kewajipan zakat
ini secara sukarela tetapi bila mana manusia enggan atau ingkar dengan tuntutan
ini, Islam menuntut secara paksa menggunakan hukum yang telah ditetapkan dan
menggunakan kekuasaan yang ada pada pemerintah (seperti mengisytiharkan
perang kepada golongan yang enggan dan ingkar akan kewajipan membayar zakat)
agar melaksanakan kewajipan tersebut.
Hukuman di Akhirat
Antara hukum di akhirat bagi mereka yang tidak melaksanakan tuntutan ini, Imam
Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud :
“ Barang siapa yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kekayaan tetapi
tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada hari kiamat nanti, ia akan didatangi
seekor ular yang besar yang sangat berbisa dan amat menakutkan dengan dua bintik
di atas kedua matanya lalu membelit dan mematuk lehernya sambil berteriak “Aku
adalah kekayaanmu, aku adalah kekayaanmu yang kamu kumpulkan dahulu “ Kemudian
baginda s.a.w membaca ayat al-Quran “ Dan
jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan
bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan
dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat
kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu
kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh
mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan
itu)?"surah ali-’Imran ayat 180
Hukuman di Dunia
Bagi hukuman di dunia pula, Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :
” Bila mereka tidak mengeluarkan zakat bererti mereka telah menghalang hujan
turun. Seandainya binatang tidak ada, pastilah mereka tidak akan diberi hujan ”
hadis riwayat Ibnu
Majah, Bazzar dan Baihaqi.
Orang-orang Yang Tidak Membayar Zakat Dihukum Bunuh
Islam tidak hanya menghukum golongan yang tidak membayar zakat dengan hukuman
seperti di atas sahaja tetapi lebih dari itu, Islam memerintahkan agar memerangi
dan harus dihukum bunuh golongan yang membangkang dari membayar zakat. Hal ini
berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih dan menjadi ijmak
(telah disepakati) oleh para sahabat. Hadis riwayat Imam Bukhari
dan Imam Muslim dari Abdullah bin Umar bermaksud :
” Rasululah s.a.w bersabda : Aku
diperintahkan untuk memerangi mereka kecuali bila mereka sudah mengikrarkan
syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah RasulNya,
mendirikan solat dan membayar zakat. Bila mereka sudah melaksanakan hal itu,
maka darah mereka sudah mendapat perlindungan dari aku kecuali dengan hak-hak
lain yang perhitungannya diserahkan kepada Allah s.w.t.”
Hadis ini menunjukkan dengan tegas bahawa orang yang tidak membayar zakat harus
diperangi sampai mereka membayarnya.
Orang Yang Mengingkari Zakat Adalah Kafir
Berdasarkan kedudukan zakat dalam syariat Islam, para ulama’ menetapkan bahawa
orang yang mengingkari dan tidak mengakui zakat itu wajib, adalah kafir dan
sudah keluar dari Islam. Imam Nawawi Rahimahullahu Taala Alaihi berkata :
” Bila orang itu mengingkari wajibnya zakat kerana dia belum mengetahuinya
dengan sebab hidup pada masa Islam baru tersebar atau tinggal jauh di pendalaman
(tidak sampai seruan dakwah), maka ia tidaklah dinilai kafir tetapi harus
diterangkan dan diberi pendedahan kepadanya terlebih dahulu bahawa zakat itu
wajib lalu baru dipungut zakatnya. Bila dia tetap mengingkarinya (setelah diberi
penerangan) barulah ia dihukum kafir.
Tetapi bila orang itu hidup di tengah-tengah umat Islam, maka dia dihukum
kafir dan diperlakukan sebagai orang-orang murtad yang harus diberi hukuman.
Oleh kerana wajibnya zakat ini sudah diketahui oleh umum, yang mengingkari wajib
zakat ini dinilai sama seperti tidak mengakui Allah dan RasulNya dan mereka ini
dihukum kafir . (rujukan al-Majmuk jilid 5 : 334) Penegasan Imam Nawawi ini
diperkuatkan pula oleh Ibnu Qudamah (rujuk al-Mughni jilid 2 : 573)
Berdasarkan hukum syarak yang jelas, tegas dan diakui secara keseluruhannya
dapatlah kita nilai bagaimana kedudukan orang-orang yang merendahkan kedudukan
zakat dan memandang enteng tidak mengambil berat tentangnya serta mengatakan
bahawa zakat tidak sesuai dilaksanakan di zaman yang serba moden ini. Ingatlah,
Allah s.w.t tahu atas apa yang telah kita nilaikan selama ini.
ADAB-ADAB BERZAKAT
-
Berzakat dengan ikhlas.
-
Mengeluarkan harta yang paling baik yang dimiliki
-
Hendaklah dirahsiakan pemberian zakat jika dibimbangi timbulnya perasaan
riak
-
Bersegera mengeluarkan zakat apabila mencukupi syarat-syaratnya
-
Sunat mewakilkan kepada orang lain untuk mengeluarkan zakat, jika takut
dipuji yang boleh menimbulkan riak
-
Disunatkan berdoa semasa mengeluarkan zakat dengan doa : "Ya ALLAH
jadikanlah ia suatu keuntungan dan janganlah jadikan ia sesuatu kerugian"
-
Bagi amil pula disunatkan berdoa ketika
menerimanya :
"Semoga ALLAH mengurniakan sebaik-baik ganjaran terhadap apa yang
telah engkau berikan dan memberkati segala harta kamu yang masih tinggal dan
semoga ALLAH menjadikan zakat mu sebagai pembersih harta mu".
Amin.
|