|
KELEBIHAN ORANG YANG BERHARTA KELUAR ZAKAT.
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KETIGA
Allah SWT telah merakamkan penganugerahan kelebihan dan keuntungan kepada
hambaNya yang telah membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT melalui al-Quran
dan hadis Rasulullah SAW. Maksud Firman Allah Ta’ala di dalam surah al Baqarah :
Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah
sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap
tangkai itu pula mengandungi seratus biji.
Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu
pengetahuanNya.
Surah al-Baqarah : 261
Orang yang berzakat itu, apabila mengeluarkan zakatnya tentu mendapat pahala
yang besar dan ganjaran yang mulia disamping memperoleh faedah dan keuntungan
dunia dan akhirat. Di dalam harta itu terdapat beberapa bahaya, fitnah dan
bencana yang tidak akan terlepas dari seseorang yang berharta itu melainkan
setelah ia mengeluarkan zakatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
”Jika anda menunaikan zakat hartamu dengan senang hati, maka sebenarnya anda
telah terselamat dari bencananya ”
Demikianlah pula harta yang telah dizakatkan itu tidak akan ditimpa kerosakan
dan kebinasaan sebagaimana Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
” Tidak akan binasa harta yang dilaut ataupun didarat melainkan dengan
menahan (tidak mengeluarkan) zakatnya.”
SabdaNya lagi yang bermaksud :
” Bentengi harta kamu dengan mengeluarkan zakat dan ubati penyakit-penyakit
kamu dengan mengeluarkan sedekah”
Harta yang telah dizakatkan itu terbenteng dan terpelihara dalam pemeliharaan
Allah SWT kerana harta itu bersih dan telah diberkati. Manakala harta yang tidak
dizakatkan itu adalah harta yang tersia-sia kerana ianya kotor dan tidak
diberkati
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
” Tiada sesuatu harta yang bercampur dengan zakat ( tidak dizakatkan )
melainkan ia memusnahkannya”
Apalah baiknya dan apalah gunannya harta yang telah terangkat atau terhapus
berkatnya dan yang tinggal hanya bencana dan fitnah semata-mata sedang
terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu adakalanya secara zahir dapat dilihat
iaitu terhapusnya gambaran harta itu dan kembalinya manusia sesudah kaya raya
menjadi miskin dan papa kedana, hidup penuh gelisah dan keluh kesah, mereka
bosan terhadap ketentuan Allah SWT. Perkara serupa ini sering menimpa ke atas
ramai orang yang mengambil mudah dan enteng terhadap kewajipan zakat.
Ada kalanya terhapusnya berkat dari sesuatu harta itu secara batin iaitu harta
yang dikumpul itu tetap ada ditangan, semakin hari semakin bertambah namun
tuannya tidak pula memanafaatkan harta itu samada pada kepentingan agamanya
seperti menginfaqkannya ke jalan kebajikan mahupun pada kepentingan diri sendiri
seperti membelanjakannya untuk menutup hajat dan keperluan hidup seharian,
sebaliknya ada pula yang terus hidup dalam kecelakaan dan kesusahan kerana
mereka sayang hendak mengeluarkan hak ( zakat ) harta itu tetapi tidak sayang
untuk mengeluarkannya pada jalan-jalan yang ditegah oleh agama Allah seperti
membelanjakannya untuk berbuat maksiat dan seumpamanya.
Mudah-mudahan Allah melindungi kita daripadanya ataupun membelanjakannya pada
memburu nafsu dan syahwat kebinatangan yang tidak akan mendapat faedah atau
hasil yang baik di dunia mahupun di akhirat.
SYARAT-SYARAT UMUM UNTUK MENUNAIKAN ZAKAT
ISLAM
Zakat adalah rukun ISLAM yang ketiga. Zakat hanya dikenakan kepada
orang-orang ISLAM dan tidak
diwajibkan ke atas orang bukan ISLAM.
MERDEKA
Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib dan hamba tidak
diwajibkan zakat.
MILIK SEMPURNA
Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan
(hak hiyazah) dan keupayaan mengurus (hak tasarruf) di mana seseorang berhak
menjual, menyewa dan seumpamanya ke atas barangan tersebut. Bagi harta yang
berkongsi antara orang ISLAM dan orang bukan ISLAM, hanya bahagian orang ISLAM
sahaja yang diambil kira dalam pengiraan zakat.
HASIL USAHA YANG BAIK SEBAGAI SUMBER ZAKAT
Semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru
yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.
CUKUP NISAB
Nisab ialah paras minimum pemilikan sesuatu harta yang menyebabkan seseorang
itu wajib mengeluarkan zakat. Bagi kebanyakan harta, nisabnya ialah 20 misqal
bersamaan nilai 85 gram emas pada harga semasa.
CUKUP HAUL
Harta yang dimiliki itu genap setahun Hijrah ( 354 hari ). Dalam zakat
pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil
pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.
|