|
MENYELUSURI AYAT-AYAT ZAKAT DALAM SURAH AT-TAUBAH (siri pertama)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEEMPAT
Sepertimana yang kita maklum, antara surah-surah yang terakhir penurunannya di
dalam al-Quran ialah surah at-Taubah. Surah ini diturunkan di Madinah dan
ayat-ayat yang terkandung di dalamnya dipanggil ayat Madaniah. Apa yang menarik
perhatian kita, banyak perkara penting berkaitan zakat diterangkan dengan jelas
di dalam surah ini. Marilah sama-sama kita menelusuri ayat-ayat tersebut melalui
beberapa keterangan di bawah ini.
a.)
Pada permulaan surah ini, ayat yang ke 5 menceritakan tentang perihal
orang-orang musyrik. Allah SWT memerintahkan agar orang-orang musyrik dibunuh
kerana melanggar perjanjian damai yang telah disepakati bersama-sama orang
mukmin setelah habisnya bulan-bulan haram (haram berperang) berlalu. Firman
Allah SWT yang bermaksud :
” Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka
bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah
mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat
mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan
sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu).
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Penerangan berkaitan ayat di atas, ada tiga syarat untuk
menghentikan mereka supaya tidak dibunuh dan diberi kebebasan iaitu :
1.
Bertaubat dari mensyirikkan Allah SWT dengan mengucap kalimat Syahadah (memeluk agama Islam)
2.
Mendirikan Solat Wajib
sebagai merealisasikan keimanan yang merupakan salah satu rukun Islam yang harus
dikerjakan setiap hari dan ianya merupakan kriteria membezakan Muslim dan
Musyrik atau kafir dan merupakan juga rantai penghubung berbentuk
keagamaan-spiritual-sosial antara umat Islam.
3.
Membayar zakat yang dikenakan
atas kekayaan mereka untuk keperluan orang yang berhak dan kesejahteraan
masyarakat dan merupakan rantai penghubung material-sosial-politik dalam
masyarakat Islam.
b.)
Seterusnya ayat yang ke 11 dalam surah ini, Allah SWT telah berfirman
bermaksud :
“ Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan
sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang
seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat
keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan bahawa seorang kafir tidak berhak masuk ke
dalam barisan kaum Muslimin dan tidak berhak memperoleh ikatan persahabatan
seagama yang membuatnya termasuk salah seorang dari kaum Muslimin itu (sama-sama
merasa suka-duka dan terikat dengan satu ikatan kukuh) kecuali bila ia
bertaubat dari segala kesyirikan dengan implikasi-implikasinya,
mendirikan solat dan dengan solat itu seorang Muslim diterima dengan senang
hati dan dikira sebagai mentaati Allah SWT dan membayar zakat sebagai
lambang perpaduan kemasyarakatan.
Para Ulama semenjak zaman Sahabat sudah memperingatkan satu hal penting iaitu
bahawa al-Quran selalu menghubungkan Zakat dengan Solat dan jarang sekali
disebutkan tanpa solat :
1.
Abdullah bin Mas’ud berkata : “kalian diperintahkan mendirikan solat dan
membayar zakat, barang siapa yang tidak berzakat bererti tidak ada erti solat
baginya”.
2.
Ibnu Zaid berkata : “ Solat dan Zakat diwajibkan bersama, tidak secara
terpisah-pisah “. Kemudian ia membaca ayat : bermaksud : “Bila mereka
bertaubat, mendirikan solat, dan membayar zakat, barulah mereka menjadi teman
kalian seagama dengan kamu”. Solat tidak akan diterima tanpa zakat.
Selamat bagi Sayidina Abu Bakr yang mengerti benar tentang masalah ini kerana
katanya menunjuk ucapan Abu Bakr : “
Aku tidak memisah-misahkan dua hal yang disatukan sendiri oleh Allah ! “.
c.)
Di dalam surah ini juga ayat 18, Allah SWT telah menceritakan tentang
orang-orang yang suka mengimarahkan masjid-masjid yang mana mereka ini merupakan
orang-orang yang mendapat restuNya : firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu
ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan
sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan
adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari
golongan yang mendapat petunjuk.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan kepada kita hakikat bagi orang yang layak
digelar golongan yang memakmurkan rumah-rumah Allah. Bagi Allah, mereka masih
belum layak memperoleh restu dariNya sekalipun mereka menghidupkan dan
mengimarahkan masjid-masjidNya, sebelum mereka ini beriman, mendirikan solat
dan membayar zakat.
d.)
Terdapat juga di dalam surah ini akan ancaman dari Allah SWT ke atas
pengumpul-pengumpul emas dan perak serta harta kekayaan yang tidak mengeluarkan
hak Allah iaitu zakat. Firman Allah SWT pada ayat 34 dan 35 yang bermaksud :
“ Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak
membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan
(balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas
perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi
mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada
mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu
rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”
Para ulama’ mengatakan bahawa ancaman yang
dinyatakan di dalam ayat ini adalah satu ancaman yang sangat berat dan dahsyat
disebabkan oleh sifat kikir dan bakhil manusia. Tetapi
jika mereka takut pada ancaman yang berat ini, sudah tentu mereka akan
segera patuh pada perintah Allah SWT iaitu dengan menunaikan zakat.
e.)
Di dalam surah ini juga terdapat penjelasan tentang orang-orang yang
layak menerima zakat yang di sebut di dalam surah ini dengan shodaqah.
Penjelasan ayat ini menempelak buat
mereka-mereka yang rakus dengan harta kekayaan zakat. Firman Allah SWT pada ayat
58 hingga ayat 60 yang bermaksud :
” Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai
(pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian
daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan
jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan
serta merta mereka marah.
Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan
oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: Cukuplah Allah
bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga
RasulNya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah. Sesungguhnya
sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang
miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan
hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang
yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang
musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu
ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Penerangan ayat di atas menegaskan kepada kita akan ketegasan Allah SWT
menempelak dan menghentikan keserakahan orang-orang yang tamak haloba dan tidak
menyerahkan pembahagian zakat mengikut kehendak dan kemahuan orang-orang yang
tamak haloba tadi atau mengikut keinginan hati para orang yang berpengaruh
tetapi pembahagian ini telah ditetapkan sendiri oleh Allah SWT kepada lapan
asnaf (golongan) yang layak menerimanya. Penetapan siapakah yang lebih adil dari
ketetapan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah?
Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh
membuat hukum yang lebih pada daripada Allah”
ayat 50 surah al-Maaidah
Ayat 60 surah at-Taubah ini juga merupakan dalil bahawa zakat itu harus
dikumpulkan dan dibuat pembahagian dengan perantaraan “Amil”
(petugas zakat) yang memberi petunjuk kepada kita bahawa yang menguruskan urusan
zakat (pungutan dan pengagihan) mestilah pemerintah bukan secara peribadi atau
persendirian.
Bersambung pada siri akan datang.
|