|
MENYELUSURI AYAT-AYAT ZAKAT DALAM SURAH AT-TAUBAH (siri terakhir)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KELIMA
f.)
Di dalam surah ini juga Allah SWT menjelaskan pula institusi-institusi
masyarakat Islam. Firman Allah SWT ayat 71 yang bermaksud :
“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi
penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan
melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan
memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi
rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan zakat merupakan salah satu institusi yang
membezakan seorang itu Mukmin dengan seorang Munafik yang dijelaskan oleh Allah
SWT sebelum ayat tersebut iaitu ayat
67 yang bermaksud :
” Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan
setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang
jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam
tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah)
Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya
orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”
Mereka ini adalah orang yang kikir dengan menggenggam tangan (bakhil dan
kedekut) oleh kerana rakusnya mereka kepada harta dan
enggan mengeluarkan zakat dan
disebabkan (bakhil dan kedekut) itulah mereka telah dilupakan Allah dengan erti
kata lainnya Allah SWT membiarkan dan tidak diperhatikan olehNya (tidak mendapat
rahmat Allah SWT). Bagi orang-orang yang beriman,mereka membuka tangan mereka
(mengeluarkan zakat) oleh kerana tidak bakhil dan kedekut, mereka mendapat
rahmat dari Allah SWT.
g.)
Pada ayat yang ke 103 surah at-Taubah ini, Allah SWT memerintahkan kepada
Rasulullah SAW dan semua orang yang diberi amanah untuk memimpin umat Islam
sesudah kewafatan Baginda SAW dengan firmanNya yang bermaksud :
” Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya
dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari
akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu
menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.”
Penerangan ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa para mufassirin
(ahli tafsir) menjelaskan bahawa
perkataan min (dari) dalam ayat Khuz min amwalihim shodaqah
(Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi zakat) itu bererti
”sebahagian”. Ini memberi makna shodaqah (zakat) yang diwajibkan
itu bukanlah seluruh kekayaan tetapi hanya sebahagian kecil sahaja. Adapun
perkataan amwalihim (harta-harta kekayaan mereka) bukan disebut
maalihim (harta mereka) di dalam ayat tersebut dan ini membawa maksud
bahawa harta-harta kekayaan itu meliputi berbagai jenis kekayaan dan bukannya
hanya pada satu-satu bentuk kekayaan sahaja. Manakala kata ganti nama
(dhamir) him yang bersambung dengan perkataan amwal
(harta-harta kekayaan) bermaksud keseluruhan orang Muslim. Demikianlah pendapat
jumhur ulama’ tafsir dalam menjelaskan perkara yang terdapat di dalam ayat ini.
Inilah yang menjadi landasan dan pegangan mengapa kekayaan seluruh orang Muslim
itu wajib dikenakan zakat, oleh kerana kesamaan kedudukan mereka dalam pandangan
pelaksanaan hukum Islam.
Sebagai rumusan dari apa yang telah diperjelaskan dari ayat-ayat berkaitan
dengan zakat di dalam surah at-Taubah ini, dapatlah disimpulkan dari kaca mata
al-Quran bahawa, manusia tidak boleh meraih kebajikan, tidak boleh disebut
sebagai orang baik, tidak boleh dianggap sah masuk barisan orang-orang yang
bertakwa dan masih tidak boleh sederap selangkah dengan orang Mukmin yang lain
selagi mana mereka masih tidak mengeluarkan zakat.
Tanpa zakat, seseorang itu
tidak boleh dibezakan dari orang-orang musyrik yang tidak membayar zakat dan
tidak meyakini hari akhirat. Tanpa zakat, seseorang tidak boleh
dibezakan dengan orang-orang munafik yang menggenggam tangan (tidak mengeluarkan
zakat) bakhil dan kedekut serta rakus pada harta kekayaan. Tanpa zakat,
seseorang itu tidak akan memperoleh rahmat Allah SWT yang tidak rela diberikan
kepada orang-orang yang tidak berzakat. Firman Allah SWT di dalam surah
al-a’raaf ayat 156 yang bermaksud :
" Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat,
sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AzabKu akan
Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap
sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa, dan yang
memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”
Tanpa zakat, seseorang itu
tidak berhak memperoleh pertolongan dari Allah SWT, RasulNya dan dari
orang-orang yang beriman. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah SWT di dalam surah
al-Maaidah ayat 55 dan 56 yang bermaksud :
”Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah
Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang,
dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang
beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan
(yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.”
Tanpa zakat, seseorang itu
tidak boleh mendapat pembelaan dari Allah SWT yang sudah dijanjikanNya melalui
surah al-Hajj ayat 40 dan 41 yang bermaksud :
”Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di
bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka
menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara
yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
”
|