|
SUMBER-SUMBER KUTIPAN ZAKAT
(Bahagian Pertama)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KESEMBILAN
Kita telah maklum bahawa zakat harta di wajibkan sejak zaman awal dari
bermacam-macam jenis pendapatan dan perusahaan yang boleh mendatangkan kekayaan,
selain daripada sumber-sumber khusus seperti emas dan perak, pertanian, ternakan
dan sebagainya. Diriwayatkan dari Abu Jaa’far Muhammad bin Ali (m.14H) pernah
mendengar Ali bin Abi Talib k.w berkata : “ Allah swt telah mewajibkan zakat
kepada setiap orang kaya yang memiliki harta untuk membantu fakir miskin.”
Seandainya fakir miskin itu terbiar kelaparan, kesakitan dan tidak berpakaian,
beliau membenarkan orang kaya yang berkenaan dihukum.
Dalam riwayat lain, khalifah Ali bin Abi Talib k.w pernah menyebut
perkataan al-Mal dengan sebutan makrifah mufrad (kalimah itu
merangkumi pelbagai jenis harta) di samping itu beliau menentukan haul sebagai
prasyarat kewajipan berzakat kecuali zakat pertanian. Langkah Ali bin Abi Talib
k.w diikuti para sahabat dan tabiin yang lain. Maymun bin Mihram (m.125H)
berkata : ”Apabila sampai masa membayar zakat, semua harta (Kull Mal ) yang
dimiliki oleh orang kaya dan pendapatan bersih sahaja yang diwajibkan zakat”.
Langkah ini dilanjutkan oleh Tawus (m.106H), di mana beliau berpendapat bahawa
zakat diwajibkan kepada orang kaya yang memperoleh harta benda daripada pelbagai
sumber.
Kekayaan boleh diperoleh melalui dua sumber. Pertama, melalui sumber
tabii (semula jadi) seperti hasil ternakan binatang, pengeluaran pertanian dan
hasil logam. Pendapatan sumber tersebut diwajibkan zakat. Selain itu, kekayaan
juga boleh diperoleh melalui kerja-kerja perkhidmatan dan kemahiran intelektual.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
”Setiap orang Islam diwajibkan zakat.”Mereka berkata kepada Rasulullah: ”Wahai
Nabi Allah, kalau kami tidak memiliki harta, bagaimana?” Jawab baginda: ”Berusahalah
kamu dengan sepenuh tenaga bagi menyara diri kemudian bayarlah zakat. ”Mereka
berkata lagi: ”Usaha kami tidak berhasil? Jawab baginda: ”Berilah pertolongan
kepada orang yang berhajat. ”Mereka berkata lagi: ”Kalau kami tidak berupaya?
Sabda baginda: ”Bergiatlah dalam perkara makruf dan mencegah terjadinya
keburukan. Sesungguhnya pekerjaan itu bagi kamu adalah sadaqah”
Pada masa ini, seseorang yang menawarkan perkhidmatan akan mendapat upah.
Kepakaran yang mereka curahkan itu akan dinilai dengan wang ringgit. Upah atau
hasil pendapatan merupakan harta yang wajib dikenakan zakat. Walau bagaimanapun,
hadis di atas pada lahirnya memberi makna yang luas kepada konsep zakat kerana
zakat yang dimaksudkan oleh hadis itu tidak tertumpu kepada keuntungan harta
modal semata-mata atau kepada zakat wajib yang telah ditetapkan sahaja, bahkan
ia merangkumi segala pendapatan perkhidmatan yang dilakukan oleh setiap ahli
profesional.
Dalam sebuah hadis lain daripada Abu Dharr al-Ghifari (m.31H) bahawa
beliau pernah mengadu kepada Nabi Muhammad s.a.w :
Bagaimanakah kami hendak mengeluarkan sadaqah (zakat) sedangkan kami tidak
berharta? Baginda bersabda : ”Sadaqah itu mempunyai banyak cabang, antaranya
ialah mengucap takbir, tasbih, tahmid, istighfar, melakukan amal makruf,
membersihkan halangan di jalan, memimpin orang buta, merawat orang bisu dan
pekak, menunjuk jalan kepada orang yang sesat dan membantu orang yang lemah.
Semuanya ini merupakan cabang-cabang sadaqah yang akan mendapat pahala.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Seorang jururunding yang membimbing pelanggannya akan menggunakan kepakarannya
iaitu kalimah tayyibah (perkataan yang baik) untuk mendapat ganjaran. Adi
bin Hatim r.a (m.86H) dan Abu Hurairah r.a kedua-duanya mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda yang ertinya : “Jauhilah diri kamu daripada seksaan neraka
walaupun dengan secebis tamar. Jika kamu tidak memiliki harta benda, maka
bersedekahlah dengan kalimah tayyibah”.
Begitu juga dengan jurubina, doktor, guru-guru dan lain-lain. Kesemua khidmat
akan dibayar gaji, elaun, bonus dan lain-lain lagi. Apakah pendapatan seperti
tersebut tidak diwajibkan zakat? Jika kedua-dua hadis tersebut difahami, maka
ini akan hanya diertikan sebagai kerja sosial yang dilakukan secara
tatawwu’ (sukarela) atau sebagai ibadah sampingan. Peredaran masa
boleh membawa kepada perubahan terhadap kefahaman pengertian hadis tersebut.
Perkhidmatan yang dinyatakan dalam hadis tersebut sekarang boleh diperluaskan
kepada kerja profesional.
Perkhidmatan tersebut bukanlah kerja
sukarela atau ihsan tetapi telah menjadi bidang pekerjaan untuk mendapat upah
yang lumayan. Ini bermakna hadis ini memberikan pengertian yang amat rasional
dan praktikal sesuai dengan perubahan dunia pekerjaan masa ini.*
Teras zakat menurut al-Quran dan hadis sebagaimana yang telah disebutkan
sebelum ini ialah berpaksi kepada “harta” dan “orang kaya”. Prinsip dan tujuan
mewajibkan zakat ke atas harta orang kaya ialah supaya sistem zakat dapat
mengimbangi pendapatan per kapita dan sistem agihan untuk mewujudkan keadilan
ekonomi masyarakat Islam secara berterusan. Justeru, jika seorang petani yang
mengusahakan tanaman padi memperoleh antara 350-600 gantang bernilai lebih
kurang RM400 hingga RM550 sudah diwajibkan zakat pertanian sebanyak 10% atau 5%,
maka wajarkah seorang pegawai atau seorang ahli profesional yang mendapat gaji,
elaun dan ganjaran bernilai sebanyak RM1000 hingga RM3000 lebih sebulan tidak
diwajibkan zakat? Mereka mestilah membantu golongan yang tidak bernasib baik
melalui mekanisme zakat ini. Nabi s.a.w bersabda yang ertinya :
“Tiga golongan akan dimurkai Allah s.w.t : orang telah berkahwin melakukan
persetubuhan haram, orang miskin yang pembelit dan orang kaya yang menindas”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Mengikut Abu Darda’ (m.32H) :
“Salah satu tanda seseorang itu benar-benar beriman ialah orang yang membela
nasib orang miskin”
Antara hikmah zakat ialah membersihkan harta dan jiwa pemiliknya. Adakah
petani, penternak dan ahli perniagaan sahaja yang berhati kotor? Adakah golongan
ini sahaja yang perlu menyucikan diri dan pendapatan mereka?
Adakah pendapatan penggajian dan pendapatan ahli profesional itu tidak perlu
disucikan? Mengapa harta mereka dibezakan dengan harta lain? Mengapakah status
kaya tidak dipandang antara petani dan penternak dengan pegawai tinggi dan ahli
profesional? Jabir bin Samurah r.a (m.10H) dan Abdullah bin Umar r.a (m.74H)
menegaskan bahawa seseorang yang telah menunaikan zakat kekayaan, maka mereka
telah membersihkan diri dan harta mereka. As-Sya’bi pernah membacakan ayat 177
dalam surah al-Baqarah kepada Abu Hamzah agar menjelaskan bayaran zakat
sebagai pesanan untuk menjadi orang bertakwa dan berkebajikan. Firman Allah
s.w.t yang bermaksud :
“Kebajikan bukan semata-mata kamu menghadapkan muka ke arah timur dan
barat,tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang itu kepada Allah S.W.T,
hari kiamat, malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, mendermakan harta kesayangannya
kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, musafir (yang memerlukan
pertolongan), peminta sedekah, membebaskan hamba abdi, menunaikan solat dan
zakat, menepati janji apabila berjanji, tabah dan sabar pada masa kesempitan
serta kesakitan dan perang. Mereka inilah orang yang benar-benar membuat
kebaikan dan bertakwa”
(Surah
al-Baqarah 2:177)
Itu merupakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap
Muslim yang memiliki kekayaan kerana harta itu merupakan rezeki yang
dianugerahkan Allah s.w.t.
(Bersambung pada siri akan
datang)
|