Monday, 07 September 2020 06:32

BADAN KORPORAT TUNAI ZAKAT LEBIH DUA BELAS (12) JUTA RINGGIT

Rate this item
(0 votes)

KUANTAN, 02 September 2020 – Lapan (8) badan korporat telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2019 berjumlah RM12,839,426.67 kepada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertempat di Istana Abdulaziz, Bukit Istana, Kuantan.

Majlis penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Setiausaha Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussin. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud serta para pegawai dan kakitangan PKZ Pahang yang terlibat.

Mendahului senarai badan korporat tersebut ialah Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili oleh Pengarah TH Negeri Pahang, Puan Hajah Musalimah binti Mustafa yang menyerahkan zakat perniagaan TH sebanyak RM4,715,801.28 manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diwakili oleh Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, YBhg. Dr. Anis bin Mahmud  menunaikan zakat sebanyak RM3,104,800.09.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula diwakili oleh Ketua Pegawai Korporat TNB, YBhg. Datuk Wira Roslan bin Ab Rahman yang menyerahkan zakat berjumlah RM2,369,647.81 manakala Kumpulan Bank Rakyat diwakili oleh Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Tuan Haji Abd Rani  bin Lebai Jaafar menunaikan zakat berjumlah RM1,030,573.00.

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) masing-masing menyerahkan zakat sebanyak RM834 ribu ringgit dan RM365 ribu ringgit. Mewakili BPMB ialah Ketua Perbankan Perniagaan 1, Encik Sulaiman Abd Rahim dan BIMB diwakili oleh Pengurus Besar, Hubungan Strategik, Ustaz Haji Mohd Nazri Chik.

Manakala QSR Brands Malaysia Holdings Berhad (QSR) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) masing-masing menyerahkan zakat sebanyak RM259,027.00 dan RM160,577.49. Mewakili QSR ialah Penasihat Syariahnya YBhg. Datuk Haji Mohammad Nordin bin Ibrahim  dan BMMB diwakili oleh Ketua Bahagian Syariah, Encik Mohd Izuwan bin Mahyudin.

Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua badan korporat yang terlibat kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan mereka sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

Read 100 times
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG