Thursday, 22 October 2020 02:56

WAJIB TAKSIR ZAKAT PENDAPATAN; 21 ORANG TELAH DISIASAT

Rate this item
(0 votes)

KUANTAN, 20 Oktober 2020 – Majlis Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah melaksanakan kempen Wajib Taksir Zakat Pendapatan semenjak tahun 2018 sehingga kini. Kegagalan atau enggan memberikan Taksiran Zakat apabila diminta oleh pihak MUIP adalah merupakan satu kesalahan menurut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.

Dalam tempoh tersebut, sejumlah 28,127 surat arahan telah dihantar kepada individu yang berkenaan bagi mengemukakan maklumat pendapatan serta taksiran zakat pendapatan masing-masing. Bagi individu yang gagal melengkapkan dan mengembalikan borang taksiran dalam tempoh yang telah ditetapkan, pihak PKZ Pahang telah memanjangkan senarai nama mereka yang terlibat untuk tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Dalam perkembangan terkini, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIP telah memulakan tindakan secara berperingkat. Menurut Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Syariah JAIP, Ustaz Nasarudin bin Ngah, “Seramai 21 orang yang gagal memaklumkan pendapatan atau tidak membuat taksiran zakat masing-masing kini dalam proses akhir sebelum tindakan pendakwaan dilaksanakan”. Tambah beliau, tindakan yang diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIP akan dilakukan secara berperingkat meliputi pelbagai golongan yang mempunyai sumber pendapatan.

Pihak PKZ Pahang mengharapkan agar orang ramai bersikap lebih prihatin dalam menunaikan kewajipan membuat taksiran zakat. Kemudahan yang disediakan seperti pelbagai bentuk panduan serta portal pengiraan zakat di http://etaksir.zakatpahang.my/ diharapkan dapat membantu melancarkan urusan tersebut dan dapat mengelakkan daripada sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan.

Disediakan oleh,
Haji Che Samsol bin Ibrahim
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam

Read 222 times
© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG