Ini adalah contoh bagi salah satu elemen pelaburan emas. Seseorang? membeli emas kemudian membina satu akad yang lain iaitu wadi'ah terhadap emas tersebut untuk dijaga atas dasar yad amanah. Melalui kaedah ini, para pelabur membeli emas dalam apa jua bentuk kemudian menyerahkan kepada pihak lain untuk menyimpannya dengan dibayar upah simpan misalnya bagi tujuan menunggu masa jualan ketika harga tinggi.

Dalam hal ini para ulama telah bersepakat bahawasanya emas yang disimpan dalam bentuk ini wajib dikeluarkan zakatnya tatkala cukup nisab dan haul oleh si penyimpan. Al-Baji r.h.m (al-Muntaqa) menyatakan bahawasanya mereka yang mempunyai emas yang berpisah-pisah di tangan orang lain samada menerusi kontrak qirad, mudharabah, wadi?ah atau lain-lainnya yang membolehkan perkembangan berlaku tanpa halangan pengendalian maka hukumnya adalah sama seperti emas yang berada di tangannya.

Di dalam Fath al-Aziz oleh Al-Rafiie (5/502) berdasarkan pandangan yang sahih dalam Mazhab Imam al-Syafie zakat hutang wajib dikeluarkan oleh pemiutang setiap kali mencukupi haul walaupun si penghutang belum melunaskan hutangnya. Kadar zakat yang dikenakan adalah untuk tempoh selama hutang itu berada di tangan penghutang.

Ini adalah berdasarkan kepada athar yang kuat dari para sahabat khasnya dari para Khulafa al-Rasyidin iaitu Umar. Uthman dan Ali r.anhum dan berdasarkan pandangan yang lebih berjaga-jaga (ihtiyat) kerana menurut Syaikh Muhammad Al-Amin al-Syanqiti bahawasanya permaslahan zakat hutang ini tiada sebarang nas di dalam al-Quran dan al-Sunnah mahupun Ijmak. (Adwa al-Bayan 2/141) Justeru membayar zakat baginya adalah lebih awla.

Zakat emas jongkong mahupun syiling yang dimilki untuk diperniagakan samada dalam bentuk pelaburan dan seumpamanya adalah dianggap tertakluk kepada zakat. Dalam hal ini emas jongkong dan syiling yang diperniagakan atau dimasukkan dalam pelan pelaburan adalah dianggap sebagai urudh al- tijarah (harta atau barang yang diniagakan)

Jika nisabnya tidak mencukupi, maka ia perlu disertakan atau disekalikan dengan harta perniagaan yang lain ataupun dengan simpanan lain yang dimiliki pemilik emas tersebut. Sekiranya cukup nisab, maka layak emas tersebut dizakatkan sebanyak 2.5% dari nilainya setelah ditukar kepada nilaian dalam matawang negara.

Kesimpulannya jika tidak cukup nisab, maka emas tersebut perlu dimasukkan bersama kiraan harta lain seperti simpanan yang sedia ada bagi menentukan nilai zakat yang dikenakan. Sekiranya cukup nisab, kesemua harta tersebut boleh dizakatkan sekali walaupun kiraan dibuat berasingan. (Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah 3/36)

Zakat hanya diwajibkan kepada nilai berat emas yang ada pada perhiasan itu sahaja. Adapun segala tatah berlian, batu permata dan sebagainya tidak dikenakan zakat padanya.

Ini jika pemilikan bersifat kegunaan individu. Adapun jika ianya diniagakan atau dijadikan barangan niaga atau perdagangan, maka hendaklah ditaksirkan kesemua nilai pemilikan tersebut dengan nilai matawang dan dizakatkan sebanyak 2.5%.

Page 1 of 2

carian soalan lazim

© 2019 PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG