Kuantan, 25 Februari 2010 bersamaan 11 Rabiulawal 1431H; Selepas daerah Kuantan, program Ops Bisnes pusingan ke-2 bagi 2010 telah dijalankan di sekitar bandar Pekan dan Bandar Chini pada 17 hingga 19 Februari 2010 yang lalu. Program yang disasarkan khusus kepada kumpulan peniaga ini bertujuan memberi kesedaran kepada para peniaga berhubung tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan di samping membantu golongan peniaga membuat taksiran zakat mereka melalui kaedah yang tepat.
Pada pagi hari pertama operasi (17 Februari 2010), skuad Ziarah Ops Bisnes telah dilancarkan oleh wakil Pengurus Zon FELDA Gugusan Chini, Encik Md Yusof bin Mee bertempat di Kompleks Perhentian Bas Bandar Chini. Selepas itu operasi diteruskan dengan program ziarah kepada peniaga-peniaga di semua lapan buah penempatan FELDA gugusan Chini, manakala pada dua hari berikutnya operasi tertumpu ke kawasan Bandar Pekan dan sekitarnya.
Sepanjang operasi bersepadu selama tiga hari tersebut, sebanyak 156 buah premis perniagaan meliputi kedai makan, kedai runcit, kedai kain, hardware, klinik dan lain-lain jenis perniagaan telah dikunjungi. Daripada jumlah tersebut, para pegawai operasi telah berjaya membuat taksiran zakat perniagaan ke atas 129 pemilik premis perniagaan di mana 78 daripadanya didapati mencukupi syarat wajib untuk menunaikan zakat perniagaan. Seramai 68 daripada mereka telah mengambil peluang menunaikan kewajipan mereka kepada pegawai-pegawai bertugas dengan amaun bayaran sebanyak RM24,568.25.
Secara keseluruhannya, majoriti daripada para peniaga memberikan respons positif di atas kehadiran PKZ dan melahirkan rasa bersyukur kerana melalui operasi seumpama ini dapat memudahkan mereka untuk memahami dan menunaikan zakat perniagaan masing-masing. Semoga usaha kita menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada Allah SWT akan mendapat taufik dan hidayahNya.
Kesemua petugas OPS Bisnes dan pelepasan skuad oleh En Md Yusoff bin Mee
Kunjungan di kedai kain dan kedai runcit

Perniagaan besi

Bengkel Motosikal

Doa agar perniagaan terus dilimpahi keberkatan

Tampal poster sebagai tanda kedai telah dikunjungi serta perbincangan setelah selesai operasi

Disediakan oleh ;
Us. Che Samsol bin Ibrahim
Pengurus Zon 1 Cawangan Kuantan
Pusat Kutipan Zakat
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang