|
JENIS-JENIS ZAKAT SERTA PEMBAHAGIANNYA ( Bahagian Keenam-Zakat Perniagaan)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEDUA PULUH DUA
Perniagaan merupakan satu sumber zakat yang terbesar berbanding sumber-sumber
zakat yang lain seperti ternakan, tanaman dan sebagainya.
Firman Allah swt yang bermaksud :
(Ibadah itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya, yang tidak
dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut atau mengingati
Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat ; mereka takutkan hari
(kiamat) yang padanya berbolak balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan
semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang
mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari kurniaNya. Dan sememangnya Allah
memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.
Surah an-Nur
ayat 37-38
Hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Daud r.a :
Rasulullah S.A.W memerintahkan kami agar bersedekah dari segala yang kami
maksudkan untuk dijual.
Justeru, perniagaan bagaimanakah yang
yang layak untuk dikenakan zakat? Sila lihat senarai berikut.
1.
Peruncit kecil-kecilan (penjaja, peniaga pasar malam, warung, gerai dan
sebagainya)
2.
Peruncit dan pemborong bermodal sederhana dan besar (kedai runcit, pasar mini,
pasar raya, kedai buku, kedai jahit dan sebagainya)
3.
Syarikat pengeluaran/perkilangan (automobil, elektrik, makanan, percetakan,
tekstil dan sebagainya)
4.
Perladangan, pertanian, perlombongan.
5.
Pembinaan bangunan dan hartanah.
6.
Syarikat perkhidmatan (kewangan, bank, pengangkutan, keselamatan, pembersihan,
perhotelan, perundingan, profesional dan sebagainya).
Sekiranya anda seorang peniaga atau usahawan yang menjalankan perniagaan seperti
di atas serta dengan tujuan memperolehi keuntungan, maka perniagaan anda
tertakluk kepada zakat perniagaan.
Umumnya semua bentuk, jenis dan entiti
perniagaan berikut, berdaftar atau tidak berdaftar adalah tertakluk kepada
taksiran zakat.
1.
Syarikat Sendirian Berhad
2.
Syarikat Berhad
3.
Syarikat Awam Berhad
4.
Perkongsian
5.
Koperasi
6.
Milik Tunggal/Perniagaan Persendirian.
Selain daripada syarat-syarat wajib zakat yang umum seperti Islam, Merdeka,
Cukup Nisab, Cukup Haul, Sempurna Milik, terdapat beberapa syarat-syarat lain
yang berkaitan dengan zakat perniagaan. Ianya adalah merangkumi seperti berikut
:
1.
Perniagaan mestilah berorientasikan halal
2.
Harta perniagaan yang produktif (berkembang atau berpotensi untuk berkembang)
3.
Niat untuk perniagaan
4.
Harta tersebut bukan untuk kegunaan sendiri atau peribadi.
5.
Sumber harta perniagaan sama ada melalui pembelian atau tukaran.
KAEDAH TAKSIRAN ZAKAT PERNIAGAAN
Asas bagi taksiran zakat perniagaan berpaksi kepada modal dan
perkembangan terhadap modal itu. Sumber modal ini disediakan sama ada oleh
dana pemilik perniagaan, dana pelaburan luar atau dana berbentuk pinjaman atau
pembiayaan. Keseluruhan sumber modal ini memberikan kuasa penuh kepada pemilik
atau pengurusan perniagaan untuk menggunakan modal dalam menjana keuntungan.
Maka jelas bahawa harta berkembang (al-nama’)
menjadi asas kewajipan zakat.
Dari segi prinsip, harta perniagaan wajib dizakatkan apabila memenuhi
sifat berkembang (al-nama’), diniagakan (urud al-tijarah) dan milik sempurna (al-milk
al-tam). Ini bererti taksiran zakat tidak mengambil kira sumber harta diperoleh,
sama ada melalui sumber dalaman atau pinjaman.
Proses taksiran zakat adalah terhadap tempoh perniagaan yang telah
berlalu. Oleh itu, ia memfokuskan kepada aktiviti perniagaan setahun yang
berlalu (sehingga akaun ditutup). Aset semasa dalam tempoh tersebut akan
dizakatkan, manakala liabiliti operasi untuk tempoh itu sahaja yang dibenarkan
untuk ditolak semasa pengiraan zakat.
Secara umumnya, kaedah taksiran zakat perniagaan terbahagi kepada dua,
iaitu kaedah modal berkembang dan kaedah modal kerja.
Kaedah Modal Berkembang ini adalah :
Ekuiti Pemilik (+) Liabiliti Jangka Panjang (-) Aset Tetap (-) Aset Bukan Semasa
(+/-) Pelarasan = Harta Perniagaan Wajib Dizakatkan (x) 2.5% (kadar zakat) .
Untuk Kaedah Modal Kerja pula, ia adalah proses pengiraan seperti berikut :
Aset Semasa (-) Liabiliti Semasa (+/-) Pelarasan = Harta Perniagaan Wajib
Dizakatkan (x) 2.5% (kadar zakat).
Bagi perniagaan yang mempunyai penyata kira-kira yang lengkap, pengiraan
zakat adalah berpandukan kepada “Kunci
Kira-Kira”. Kiraan zakat boleh dibuat dengan menggunakan dua kaedah di atas.
Bagi peniaga yang tidak
mempunyai penyata kewangan yang lengkap, cara taksiran zakat boleh dilakukan
seperti ini :
1.
Peniagaan yang mempunyai “ Stok Barang Niaga” seperti
kedai runcit, kedai emas, mini market, kedai pakaian dan lain-lain, pengiraan
zakat adalah seperti kaedah modal kerja.
2.
Perniagaan yang tidak mempunyai “ Stok Barang Niaga”
seperti kedai makan, kontraktor,
firma-firma, syarikat pengangkutan,
perkhidmatan dan lain-lain, pengiraan zakat adalah
berdasarkan jualan atau terimaan dalam setahun, ditolak dengan kos operasi setahun dan
didarab dengan
2.5% (kadar zakat).
Bagi perniagaan yang berkongsi
pemilikan bersama bukan Muslim, zakat hanya tertakluk kepada pemilikan individu
atau syarikat Muslim sahaja.
Sekian.
|