|
MENGAPA ISLAM TIDAK MEWAJIBKAN ZAKAT KE ATAS ORANG BUKAN ISLAM ? (Bahagian
Pertama)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KEENAM
Para ulama Islam telah bersepakat bahawa zakat hanya diwajibkan kepada Muslim
baligh yang berakal dan merdeka yang mempunyai atau memiliki kekayaan dalam
jumlah yang tertentu beserta syarat-syarat yang telah ditentukan syarak.
Para ulama Islam juga bersependapat bahawa zakat tidak diwajibkan kepada bukan
Muslim kerana kefardhuan mengeluarkan zakat adalah salah satu rukun Islam yang
lima. Atas dasar itulah orang kafir tidak dituntut untuk mengeluarkannya dan
tidak akan menjadi hutang yang harus ditunaikannya setelah seseorang kafir itu
menganut agama Islam.
Perkara ini dirujuk bersandarkan kepada hadis Ibnu Abbas yang shahih bahawa
ketika Rasulullah SAW mengutuskan Muaz ke Yaman yang bermaksud :
” Kau akan berhadapan dengan penganut-penganut ahli Kitab, oleh itu, perkara
pertama yang harus kamu lakukan ialah menyeru mereka agar beriman (menyakini)
bahawa tiada tuhan yang wajib disembah selain Allah dan Muhammad adalah RasulNya.
Sekiranya mereka menerima (taat)akan seruan kamu itu, maka ajarkanlah mereka
bahawa Allah telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam dan apabila telah
mengerjakannya (solat) maka khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah
mewajibkan ke atas mereka berzakat, (yang mana zakat ini) dikenakan kepada
orang-orang kaya dan (hasil zakat itu) diberi (diagihkan) kepada orang-orang
miskin di kalangan mereka ”
Hadis ini menunjukkan (menurut Imam An Nawawi dan lain-lain) bahawa tuntutan
hukum wajib di dunia tidak akan terjadi melainkan setelah seseorang itu memeluk
agama Islam.
Berdasarkan kepada pendapat ulama Islam di atas, Imam Syairazi r.a, dikuatkan
pula dengan pendapat Imam Nawawi r.a telah mengemukakan pendapat mengapa zakat
tidak diwajibkan kepada orang kafir asli, ini kerana zakat adalah satu hak yang
perlu dilaksanankan oleh seseorang Islam dan sebab itu ia (zakat) tidak
dibebankan kepada orang kafir samada kafir harbi (yang memusuhi Islam)
ataupun kafir zimmi (yang hidup di bawah naungan Islam).
Mereka tidak terkena akan kewajipan ini semasa mereka kafir dan tidak harus
untuk melunaskannya apabila mereka telah memeluk agama Islam.
Apabila zakat tidak diwajibkan kepada bukan Muslim, maka zakat itu juga tidak
sah seandainya dibayar oleh orang kafir. Ini kerana mereka tidak memiliki
pensyaratan pertama iaitu Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Furqan
ayat 23 yang bermaksud :
” Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari
jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai
debu yang berterbangan.”
Namun begitu, amal kebajikan yang mereka (orang kafir) kerjakan di dunia dapat
meringankan hukuman mereka di akhirat. Maka azab itu adalah penghinaan manakala
nikmat itu adalah penghargaan.
Semua yang di atas adalah mengenai orang kafir, tetapi bagi orang-orang yang
murtad atau beralih agama, (mohon dijauhkan dan diberi perlindungan kita semua
darinya) zakat telah diwajibkan ke atas mereka semasa hal keadaan mereka Islam
dan zakat itu tidak akan gugur (kefardhuannya) disebabkan murtad. Ini kerana hak
dalam menunaikan zakat ini telah wajib ketika mana ia Islam dan tidak gugur
dengan sebab murtadnya dia sepertimana sama hukumnya pada bab hutang kepada
seseorang itu setelah diisytihar muflis. Inilah pendapat dari mazhab As
Syafie’yah.
Tetapi Ulama-ulama as-Syafie’yah berselisihan pendapat tentang kewajipan zakat
pada masa hal keadaan seseorang itu murtad. Sebahagian mereka mengatakan bahawa
zakat mereka ditangguhkan (pendapat ini menjadi pilihan). Ini kerana zakat itu
adalah hak fakir miskin dan golongan yang berhak menerimanya maka hak ini tidak
hilang disebabkan murtadnya seseorang itu sepertimana sama hukumnya pemberian
nafkah dan hutang piutang.
Mengapa Islam Tidak Mewajibkan Zakat Ke atas Orang Bukan
Muslim ?
Ramai orang memperkatakan masalah ini. Islam telah memberi keluasan kepada orang
bukan muslim yang hidup di bawah naungannya. Islam memberi mereka jaminan untuk
hidup di bawah perlindungannya, hak-hak asasi mereka, memperoleh perlindungan
dan kemerdekaan mereka terjamin sama seperti orang-orang Islam yang lain.
Berdasarkan keterangan di atas, mengapa Islam membeza-bezakan perkara
zakat ini di antara orang Islam dengan yang lain yang mana mereka
semuanya berada di bawah satu naungan kerajaan yang sama ? Pada hal zakat
merupakan kewajipan sosial, cukai atas kekayaan yang diperolehi yang harus
dikeluarkan untuk menolong golongan fakir miskin dan golongan yang berhak
menerimanya.
Bagi menjawab persoalan di atas, kita seharusnya memperhatikan dua alasan dari
orang yang melihat mengapa zakat itu diwajibkan dan alasan-alasan ini akan kita
bicarakan pada bahagian terakhir pada siri yang akan datang. Wallahu a’lam.
|