|
MENGAPA ISLAM TIDAK MEWAJIBKAN ZAKAT KE ATAS ORANG BUKAN ISLAM ? (Bahagian
Terakhir)
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KETUJUH
Mengapa Islam Tidak Mewajibkan Zakat Ke atas Orang Bukan
Muslim ?
Sebagai menyambung bicara pada keluaran lalu tentang persoalan di atas, ramai
orang memperkatakan masalah ini. Islam memberi keluasan kepada orang bukan
Muslim yang hidup di bawah naungannya. Islam memberi mereka jaminan untuk hidup
di bawah perlindungannya, hak-hak asasi mereka, memperoleh perlindungan dan
kemerdekaan mereka terjamin sama seperti orang-orang Islam yang lain.
Berdasarkan keterangan di atas, mengapa Islam membeza-bezakan perkara
zakat ini di antara orang Islam dengan yang lain yang mana mereka
semuanya berada di bawah satu naungan kerajaan yang sama ? Pada hal zakat
merupakan kewajipan sosial, cukai atas kekayaan yang diperoleh yang harus
dikeluarkan untuk menolong golongan fakir miskin dan golongan yang berhak
menerimanya.
Bagi menjawab persoalan di atas, kita seharusnya memperhatikan dua alasan dari
orang yang melihat mengapa zakat itu diwajibkan :
1.
Zakat adalah satu tanggungjawab sosial dan merupakan hak asnaf yang telah
ditentukan dan juga satu cukai yang dikenakan ke atas kekayaan yang telah
diperintahkan oleh Allah SWT untuk dikeluarkan atau diambil dari orang-orang
yang mempunyai kekayaan untuk diberi atau diagihkan kepada orang-orang fakir dan
miskin sebagai merealisasikan hubungan silaturahim satu sama lain, hubungan
kemasyarakatan dan hubungan hamba dengan Penciptanya iaitu Allah Yang Maha
Pencipta.
2.
Zakat adalah salah satu ibadah dalam Islam dan merupakan satu tiang seri
dalam menegakkan agama Islam ini. Statusnya sama penting dengan syahadah, solat,
berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah al-Haram.
Sebelum ini kita telah menjelaskan bagaimana al-Quran telah menghubungkan
kalimah zakat dengan solat berpuluh-puluh kali banyaknya dan menjadikan kalimat
zakat bersama kalimah taubat dari mensyirikkan Allah SWT
berserta kalimah solat sebagai bukti
seseorang itu telah menganuti agama Islam dan berhak mendapat gelaran saudara
seagama Islam. Al-Quran juga menjelaskan
bahawa sebahagian zakat yang dikeluarkan itu adalah untuk memperkuatkan Islam,
menaikkan martabatnya dan juga untuk kepentingan sosial dalam agama dan negara
dan juga untuk memberi kekuatan dari sudut dalaman dan luaran kepada orang-orang
yang masih baru dalam Islam.
Apa yang diterangkan di atas tadi semuanya telah dijelaskan pada bahagian asnaf
”Fi sabilillah” dan juga asnaf ”Mualaf”
Banyak hadis yang menyebut perihal zakat bahawa zakat ini diambil dari
orang-orang yang memiliki kekayaan untuk diberi dan diagihkan kepada orang-orang
fakir miskin, maka tindakan ini merupakan satu perlaksanaan atas maksud pertama
zakat dikeluarkan iaitu tanggungjawab sosial memberi keperluan yang mencukupi
kepada orang-orang fakir miskin. Tetapi al-Quran telah memperincikan kepada kita
bahawa lapan asnaf (golongan) sebagai penerima zakat dan di antaranya
adalah orang-orang mualaf (mualafatu qubuhum) dan juga untuk
perkara-perkara yang membawa kepentingan kepada Islam (fi sabilillah) dan
ini adalah pelaksanaan atas maksud kedua zakat ditunaikan iaitu tanggungjawab
beribadah kepada Allah SWT.
Atas dasar itu, Islam yang penuh kemuliaan dan keadilan (dalam berhadapan dan
bermuamalah dengan golongan bukan Islam serta menghormati pegangan agama mereka)
akan tercalar kemuliaannya dan keagungannya dan menyebabkan mereka (golongan
bukan Islam) akan tersinggung bilamana mereka juga diwajibkan melaksanakan
kefarduan ini yang jelas sekali bercirikan agama Islam. Bahkan sebenarnya zakat
merupakan kemegahan Islam yang terbesar (dalam memberi tanggungjawab sosial
yang sempurna), ia salah satu dari Ibadah yang empat dan salah satu dari
lima tonggak utama dalam Islam.
Wallahu a’lam.
|