|
HARTA KEKAYAAN YANG WAJIB DIZAKATKAN
Disusun Oleh :
Us. Felza zulrrafaaee b. Abd Hamid
Pegawai Penerangan dan Dakwah
PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
rafaaee@zakatpahang.my
www.zakatpahang.my
SIRI KELAPAN
Al-Quran tidak memberi keterangan yang jelas tentang kekayaan yang wajib
dizakatkan dan tidak pula menjelaskan syarat-syarat yang perlu dipenuhi serta
tidak menjelaskan juga tentang berapa banyak atau jumlah yang harus dizakatkan
melainkan hanya menyentuhnya secara umum. Sebagai menjelaskan dan menerangkan
perkara-perkara di atas, Sunah Nabi (sama ada berbentuk ucapan atau perbuatan)
yang akan mentafsirkan perkara-perkara yang bersifat umum, menerangkan perkara
yang masih samar-samar dan mengkhususkan perkara yang terlalu umum, menjadi
contoh atau qudwah dalam setiap pelaksanaannya. Ini kerana Rasulullah s.a.w
bertanggungjawab dalam menjelaskan al-Quran melalui ucapan, perbuatan dan
ketetapan baginda kerana baginda s.a.w lebih faham tentang maksud
firman Allah dan al-Quran. Allah S.W.T dalam menjelaskan perkara di atas
melalui ayat 44 surah an-Nahl yang bermaksud :
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata
(yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan);
dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi
peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah
diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
Terdapat beberapa jenis kekayaan yang disebutkan dan diperingatkan di dalam
al-Quran untuk dikeluarkan zakatnya sebagai hak Allah S.W.T antaranya :
1.
Emas dan perak, firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang
bermaksud:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak
membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan)
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
2.
Tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam
surah an-An’aam yang bermaksud :
“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya)
pada hari memetik atau menuainya.”
3.
Hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang
bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian
dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
4.
Hasil perut bumi. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 267
juga yang bermaksud
“Dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
Selain dari apa yang disebutkan di atas, al-Quran hanya merumuskan apa yang
wajib dizakatkan itu dengan rumusan
yang umum iaitu dengan perkataan ”harta kekayaan” seperti firman
Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud :
“Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat),
supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari
akhlak yang buruk)”
Dan juga firman Allah di dalam surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud :
“Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan
menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri
(daripada meminta).”
Terminologi dan Pengertian ”Harta Kekayaan”
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh al-Quran dan hadis-hadis Nabi tentang
istilah ”harta kekayaan” ini?
”Harta kekayaan”
(amwal) merupakan bentuk jamak (bilangan
ramai atau banyak) dari kalimah (mal) dan mal
bagi istilah orang Arab (bahasa yang
diturunkan al-Quran) adalah ”segala sesuatu yang diinginkan sekali oleh manusia
menyimpan dan memilikinya”. Berdasarkan kepada maksud di atas maka unta, lembu,
kambing, tanah, kelapa, emas, perak dan lain-lain adalah harta kekayaan. Oleh
kerana itulah ensiklopedia-ensiklopedia Arab sebagai contoh al-Qamus al-Muhith
dan Lisan al-Arab mengatakan bahawa harta kekayaan adalah segala sesuatu
yang dimiliki namun bagi orang-orang kampung atau desa sering menghubungkannya
dengan ternakan atau tanaman dan orang-orang bandar atau kota menghubungkannya
dengan emas, perak dan pendapatan harian melalui perniagaan atau perkhidmatan
tetapi semua ini adalah harta kekayaan.
Ibnu Asir mengatakan ”Kekayaan pada mulanya bererti emas dan perak, tetapi
kemudian berubah pengertiannya menjadi segala barang yang tersimpan dan dimiliki.”
Tetapi ulama-ulama Feqh berbeza pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan
pengertian harta kekayaan ini. Sebahagian fuqaha’ menyatakan harta kekayaan
adalah segala yang dapat dimiliki dan dapat digunakan secara kebiasaannya.
Kekayaan hanya dapat disebut kekayaan apabila memenuhi 2 syarat iaitu dimiliki
dan boleh diambil manfaatnya secara kebiasaannya.
Sesuatu yang dimiliki dan boleh diambil manfaatnya adalah kekayaan yang
berbentuk seperti tanah, binatang, barang-barang kelengkapan dan wang ringgit.
Bagi sesuatu yang tidak dapat dimanfaatkan tetapi mungkin boleh dimiliki dan
mungkin boleh diambil manfaatnya juga termasuk dalam istilah kekayaan sebagai
contoh segala yang boleh diambil seperti ikan di laut, burung di langit binatang
di hutan dan sebagainya.
Sebaliknya sesuatu yang tidak mungkin dimiliki tetapi dapat diambil manfaatnya
seperti cahaya dan panas matahari dan seumpama dengannya tidaklah termasuk dalam
istilah ini. Begitu juga tidak termasuk dalam istilah kekayaan, sesuatu yang
dimiliki pada dasarnya seperti memiliki segenggam tanah, setitis air, seekor
lebah, sebutir beras dan seumpama dengannya tetapi tidak dapat diambil
manfaatnya.
Hasil dari definisi di atas menunjukkan bahawa harta kekayaan itu bermaksud
hanya kepada sesuatu benda yang wujud sehingga dapat dipegang dan dimiliki
sahaja tidak termasuk manfaat dari sesuatu benda tersebut.
Sebahagian fuqaha’ yang lain pula menyatakan bahawa manfaat-manfaat itu termasuk
dalam istilah harta kekayaan, menurut mereka yang penting bukanlah dapat
dimiliki sendiri tetapi dimiliki dengan menguasai sumbernya. Yang pastinya
adalah manfaat-manfaat itu dapat dikuasai dengan menguasai tempat dan sumbernya
sebagai contoh seseorang memiliki sebuah kereta dan dia menghalang orang lain
untuk menggunakan kenderaan itu tanpa izinnya.
Ibnu Najim mengatakan bahawa kekayaan, sesuai dengan yang ditegaskan oleh ulama’
Usul Feqh adalah sesuatu yang dapat dimiliki dan disimpan untuk keperluan. Ini
dari satu sudut dan dari satu sudut yang lain pula beliau menyatakan manfaat itu
adalah kekayaan kerana dengan manfaat ini pada dasarnya berubah fungsinya (manfaat)
menjadi kekayaan itu.
Walau apa pun perbezaan pendapat di atas, yang kita ambil iktibar di sini adalah
bahawa kekayaan pada dasarnya adalah sesuatu yang berwujud (memang ada,boleh
dipandang,dipegang dan seumpama dengannya) dan itulah yang wajib dizakatkan.
Wallahu ’alam.
|