diari pkz

ID Pengguna

Kata Laluan


Belum Mendaftar?
Daftar baru

Kakitangan PKZP Sahaja

ID Pengguna
Kata Laluan

 


KONSEP, HIKMAH DAN TUJUAN ZAKAT

Zakat adalah ibadat harta yang diwajibkan sebagai sumbangan terhadap masyarakat yang bertujuan menjamin kerjasama dan menggerakkan aktiviti sosioekonomi umat. Zakat juga sebagai satu daripada cara-cara untuk merealisasikan sistem jaminan sosial Islam.

Zakat adalah asas bagi pembinaan dan pembangunan ekonomi umat Islam untuk memantapkan agama Islam. Ia juga dapat melaksana dan mengukuhkan nilai keadilan sosial dan menjadi jalan keluar bagi masalah kemiskinan. Dana yang terkumpul dari zakat juga dapat membiayai usaha dakwah dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan untuk menegakkan syariat Allah SWT.

Zakat bererti mensuci dan menyuburkan. Syarak telah memerintahkan orang mukallaf yang mendapat rezeki lumayan mengeluarkan hak Allah yang terkandung di dalamnya kepada mereka yang berhak dan halal menerimanya dari golongan asnaf (mustahik).

Dengan kata lain zakat diwajibkan ke atas tiap-tiap seorang Muslim mukallaf yang merdeka yang memiliki nisab dari apa-apa harta yang diwajibkan zakat ke atasnya, menurut syarat-syarat yang ditentukan. Dengan itu akan tercapai tujuan-tujuan mulia dan memberi kesan positif dalam kehidupan individu dan masyarakat. Di antaranya :

Tujuan dan kesannya dalam kehidupan individu:

PEMBAYAR (orang yang mampu)

  • Mensuci dari sifat kedekut dan bakhil
  • Melakukan latihan infaq dan berbelanja dengan betul
  • Berakhlak dengan akhlak yang diredai Allah, yakni mengambil sifat-sifat Allah
    - Melimpahkan kebaikan
    - Kasihan belas
    - Pemurah
    - Ihsan
  • Bersyukur atas rezeki yang didapati
  • Membersihkan diri dari sifat cintakan dunia
  • Menyubur sahsiah orang kaya
  • Menyubur mahabbah

PENERIMA ZAKAT (terutama asnaf fakir dan miskin)

  • Pembebasan terhadap penerima dari belenggu kemiskinan atau perhambaan dan lain-lain.
  • Mensuci jiwa dari perasaan hasad dengki dan permusuhan, paling kurang buruk sangka.

HARTA (mensuci harta)

  • Harta yang masih belum dizakatkan masih kotor.
  • Zakat tidak menyucikan harta haram. Ini juga menggalakkan orang mencari rezeki halal.
  • Menyuburkan harta, kerana walaupun pada zahir berkurang tetapi menjadi banyak, bertambah berganda-ganda dengan pahala. Begitu juga kerana berkat berzakat akan ditambah rezeki.
  • Menyuburkan harta yang diberi kepada fakir dan miskin yang berpotensi untuk mengembangkan harta zakat yang didapati, ataupun anak-anaknya maju dalam pelajaran.

Tujuan dan kesannya kepada masyarakat:

  • Zakat dan jaminan sosial
  • Penggerak ekonomi – pemberi zakat memang sudah mampu. Manakala penerima yang berpotensi dibangunkan akan berperanan dalam ekonomi dan masyarakat.
  • Zakat dan pembangunan insani, pembangun roh umat, yakni membangun semangat positif dan menjadi kaya jiwa.
  • Zakat merupakan pelaksanaan secara praktikal terhadap pembebasan sebenar anggota masyarakat dari sebarang perhambaan dan masalah.
  • Mengangkat harga diri dan membela maruah
  • Menyuburkan kegiatan halal dalam aktiviti sosioekonomi umat
  • Membantu kegiatan pendidikan dan dakwah dalam masyarakat.
  • Menggiatkan semangat jihad dan apa jua kegiatan fisabilillah.

    mukasurat 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7