Nisab Zakat Semasa RM 14,793.82

ZAKAT PENDAPATAN


Definisi;

Harta perolehan atau di dalam bahasa Arabnya disebut Al-Mal al-Mustafad secara umumnya bermaksud apa jua usaha atau pekerjaan yang mendatangkan hasil kepada pengusahanya.

Kategori al-Mal al-Mustafad (harta perolehan) terbahagi kepada 3;

1. Harta Pendapatan, Gaji, dan Upah

Segala pendapatan yang diperoleh seseorang daripada majikannya hasil daripada usaha atau pekerjaan yang dilakukan untuk majikannya sama ada semasa berkhidmat, selepas berkhidmat atau selepas kematiannya (pencen terbitan).

Contoh; Gaji, Upah, Bonus, Pencen, Insentif, Gratuiti, Dan Lain-lain.

2. Harta Hasil Pekerjaan Bebas

Segala pendapatan yang diperoleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukan atas usaha sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan professional.

Contoh; Doktor, Peguam, Kontraktor, Komisen, Arkitek, Royalti Hakcipta, Dan Lain-lain.

3. Harta Hasil Aset Tetap

Harta yang tetap induknya tetapi boleh berkembang dengan mendatangkan pendapatan melalui sewaan atau jualan hasilnya.

Contoh; Hasil sewaan rumah, kenderaan, Hasil ladang getah, Hasil ladang sawit, Hasil pertanian selain padi, Hasil ternakan seperti telur, susu, Dan Lain-lain.


Kaedah Kiraan :

Kaedah kiraan zakat pendapatan pada asasnya adalah berdasarkan jumlah pendapatan kasar dari semua sumber pendapatan yang halal dalam setahun selepas dibuat tolakan Had Kifayah* seterusnya didarab dengan 2.5%

* Had al-Kifayah secara umumnya adalah kadar (keupayaan ekonomi) yang selayaknya bagi menjamin kelangsungan kehidupan seorang individu serta mereka yang di dalam tanggungannya. Ia bukan sekadar penentuan had minimum semata-mata tetapi ia menjangkaui persoalan tahap yang selayaknya bagi memastikan kelangsungan kehidupan seseorang serta tanggungannya.
Item Had Kifayah bagi negeri Pahang adalah seperti berikut :

  1. Makanan
  2. Pakaian
  3. Rumah kediaman
  4. Utiliti
  5. Kesihatan
  6. Pengangkutan
  7. Pendidikan
  8. Komunikasi
  9. Saraan moden