Nisab Zakat Semasa RM 14,729.07

Bagaimana kaedah pembayaran zakat pendapatan untuk kali pertama? Ia
boleh dibayar melalui online atau perlu ke pejabat zakat pahang?

Untuk pembayaran kali pertama, semua saluran bayaran yang disediakan PKZ Pahang boleh digunakan samada online, kaunter pejabat zakat, dan lain-lain. Jika bayaran melalui online banking, maklumat diri akan mengikut maklumat yang didaftarkan di bank yang digunakan tersebut

Saya ada akaun Tabung Haji (TH) yang tak cukup nisab tetapi kalau dicampurkan dgn akuan simpanan bank nisab tersebut cukup dan cukup haul. Adakah wajib zakat?

Ya wajib zakat tetapi zakatnya adalah berdasarkan baki terendah dalam setahun di dalam kesemua simpanan setelah ditolak simpanan di tabung haji. Pihak tabung haji telah mengeluarkan zakat bagi pihak pendeposit.

Bagaimanakah kiraan Kalau akaun bank tidak cukup nisab tetapi nilai bar emas (gold bar)cukup nisab, adakah perlu dicampurkan dengan wang simpanan untuk kiraan zakat?

Gold bar emas dikategorikan sebagai emas simpan jadi ia tertakluk didalam zakat emas simpan jika cukup syarat-syaratnya. Tidak boleh dicampurkan dengan wang simpanan kerana dikalangan jenis yang berbeza.

Bagaimanakah pengiraan zakat duit simpanan daripada hasil pelaburan ASB sebanyak RM4000?

Duit hasil simpanan ASB perlu ditambah dengan semua simpanan yang ada dan tentukan baki terendah dalam setahun selepas dijumlahkan semua simpanan. Jika nilai baki terendah dalam setahun menyamai atau melebihi nisab semasa, maka wajib 2.5% daripada nilai tersebut.

Kalau simpanan TH cukup nisab, simpanan bank juga cukup nisab, adakah kedua-dua akaun perlu digabung untuk pengiraan zakat? Atau memadai simpanan bank saja dengan andaian zakat telah dikeluarkan oleh TH?

Jika simpanan di tabung haji telah cukup nisab, segala simpanan lain wajib dikeluarkan zakat. Simpanan di tabung haji telah dikeluarkan zakat.

Assalamualaikum, bagaimana cara untuk mengira zakat, bagi pendapatan hasil dari padi sawah?

Bagi hasil pendapatan dari sawah padi iaitu makanan ruji setempat, ia tertakluk kepada kiraan zakat tanaman.
Untuk zakat tanaman, ada beberapa syarat yang perlu diambil perhatian iaitu nisab dan cara penanaman:

1. Nisab untuk zakat tanaman adalah 1000kg hasil tuaian. Jika hasil bersamaan atau lebih dari kadar nisab, maka wajiblah zakat.

2. Cara penanaman pula menentukan berapa kadar zakat yang diwajibkan. Jika tanaman di airi tanpa menggunakan sebarang tenaga atau kos seperti diairi oleh hujan, sungai atau mata air, kadar zakat adalah 10% daripada hasil tanaman yang melebihi nisab.

3. Jika tanaman yang diairi dengan tenaga atau kos seperti penggunaan mesin kadar zakatnya adalah 5% daripada hasil yang melebihi nisab.