Nisab Zakat Semasa RM 14,107.57

TAKLIMAT ZAKAT DALAM KURSUS ASAS HAJI

Pahang – Lembaga Tabung Negeri Pahang Haji telah menganjurkan Kursus Asas Haji kepada bakal-bakal jemaah haji untuk tahun 1439H/2018M di 16 lokasi-lokasi terpilih seluruh negeri Pahang. Di kesempatan ini, pihak PKZ Pahang telah berkerjasama dengan pihak Tabung Haji untuk mengisi ruang slot pembersihan harta di dalam kursus tersebut pada 6 dan 7 Januari 2018 (Sabtu & Ahad).

Di dalam slot tersebut, para Pegawai PKZ memberi penekanan terhadap kewajipan zakat wang simpanan kepada peserta kursus asas haji tersebut. Ini kerana, bakal jemaah haji sering terlepas pandang terhadap wang simpanan yang tersimpan selain daripada akaun Tabung Haji. Selain itu, PKZ juga membuka kaunter perkhidmatan untuk pertanyaan, taksir dan bayar zakat.

Pihak PKZ Pahang mendoakan supaya peserta yang bakal menunaikan ibadah haji akan memperoleh haji mabrur dan semoga zakat yang dikeluarkan menjadi permudah cara kepada ibadah haji di sana.

PENYERAHAN ZAKAT PERNIAGAAN BADAN KORPORAT

Kuantan, 26 Disember 2017 bersamaan 7 Rabiulakhir 1439H

Segala puji dan syukur kehadrat Allah S,W.T di atas limpah rahmatNya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad telah menyerahkan zakat perniagaan masing-masing sempena dengan akhir tahun 2017 ini.

CIDB Malaysia yang di wakili oleh Pengarah Negeri CIDB Pahang iaitu En Saini bin Saidi telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2016 sebanyak RM46,391.00. Manakala Co-opbank Persatuan yang diwakili oleh Ybhg. Datuk Haji Yusra bin Sabar, Anggota Lembaga Pengarah telah menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2016 sebanyak RM38,776.90.

Majlis penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Dato’ Hj Halidan Md Daud. Di kesempatan majlis itu juga, Dato’Hj. Halidan juga menyeru agar semua umat Islam di negeri Pahang mengeluarkan zakat sebelum atau pada 31 Disember 2017 untuk menikmati rebat cukai.

Pihak PKZ Pahang mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua warga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan masing-masing sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

TAKLIMAT TENTANG ZAKAT

Masjid Sultan Ahmad Shah Bukit Goh – 15 Disember 2017 Bersamaan 27 RabiulAwal 1439H.

Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah bekerjasama dengan Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Masjid Kampung Bukit Goh dalam melaksanakan satu kuliah dhuha yang bertajuk “Zakat Pemangkin Ekonomi Islam”. Sasaran yang hadir adalah terdiri daripada wanita-wanita di sekitar kawasan tersebut. Di mana kuliah tersebut dibuat diperkarangan luar Masjid Sultan Ahmad Shah Bukit Goh.

Kuliah dhuha tersebut telah berlangsung pada jam 9 pagi sehingga 10 pagi, yang mana melibatkan seramai 54 orang jemaah yang terdiri daripada wanita di sekitar kampung tersebut, Taklimat tersebut disampaikan oleh Ustazah Fatin Nor Azrin Omar. Taklimat ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman kepada para peserta berkaitan Pensyariatan Zakat serta kaedah pengiraan zakat harta dan mengfokuskan penerangan tentang zakat pendapatan dan zakat wang simpanan kepada jemaah yang hadir.

Semoga matlamat Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) untuk menyebarkan pengetahuan tentang zakat secara berterusan dapat dicapai dengan adanya program seperti ini agar segala penjelasan dan juga kaedah pelaksanaan rukun Islam yang ketiga ini dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat Islam terutamanya yang telah mencukupi syarat wajib membayar zakat.

Sepanjang taklimat berjalan jemaah tersebut menunjukkan respon yang positif dan keterujaan mereka untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang zakat harta. Semoga taklimat yang telah dijalankan ini memberi manfaat kepada yang hadir,InsyAllah. Seminar ini telah berakhir dengan jayanya pada jam 10 pagi.

Anda ingin menjemput pihak kami bagi penerangan tentang zakat, sila hubungi kami di talian 09-5131515 atau terus ke laman web kami www.zakatpahang.my

PROMOSI APPS BIZZAKAT SEMPENA PROGRAM PEMANTAPAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL PERINGKAT NEGERI PAHANG 2017

Buat julung kalinya, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) dijemput untuk bekerjasama menjayakan Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Pahang.

Program yang berlangsung di Dewan Resident, Kuala Lipis ini dihadiri seramai 50 orang ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil dan juga seramai 70 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti, Giat Mara dan Kolej Vokesional sekitar Kuala Lipis ini.

Dalam porgram ini, peserta yang hadir diberi penerangan berkaitan ilmu zakat harta dan diperkenalkan aplikasi ZakatKlik, Zakat Chat dan juga BizZakat. Peserta juga diberi peluang untuk menyertai BizZakat yang merupakan direktori usahawan yang membayar zakat bagi mempromosi perniagaan mereka.

Semoga setiap perkongsian yang disampaikan dapat memberi manfaat dan pengetahuan kepada semua peserta.

Oleh : Muhammad Waliuddin bin Wahid
PKZ Raub

ZAKAT DAN KAEDAH PENGIRAANNYA

Pusat kutipan zakat Pahang telah mengadakan satu taklimat khas bertajuk Zakat Dan Kaedah Pengiraannya bersama muslimat di masjid Al-Hidayah Alor Akar.

Taklimat berikut telah berlangsung selama 1 jam yang melibatkan beberapa orang muslimat yang tinggal disekitar kawasan tersebut. Taklimat ini diadakan untuk memberi pendedahan yang lebih lanjut tentang kaedah pengiraan asas zakat-zakat harta.

Alhamdulillah taklimat berikut dapat memberi sedikit sebanyak penambahan info dan kefahaman tentang kaedah pengiraan asas zakat.

Ingin menjemput PKZ Pahang untuk penerangan tentang zakat? bolehlah menghubungi kami melalui website www.zakatpahang.my atau hubungi kami ditalian 09-5131515.

ZAKAT, KEBERKATAN DALAM REZEKI

Kampung Paching – 21 November 2017 Bersamaan 3 Rabiul Awal 1439H.

Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah mengadakan satu tazkirah berkaitan tentang bagaimana zakat membawa keberkatan dalam rezeki, bertempat di Masjid Baru Kampung Panching.

Tazkirah tersebut telah berlangsung selama 1 jam dimana melibatkan seramai 30 orang Muslimat yang terdiri daripada kalangan penduduk di tempat tersebut. Tazkirah ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman kepada muslimat bagaimana zakat itu sendiri memberi keberkatan dalam rezeki setiap individu serta pencerahan lebih terperinci berkaitan dengan zakat harta dan kaedah pengiraannya.

Ini sekaligus dapat memberi nilai tambah kepada muslimatyang hadir terutamanya untuk menyebarkan ilmu berkaitan pengiraan zakat kepada anak-anak, suami dan lain-lain.

Tazkirah telah berlangsung dengan jayanya dan berharap supaya segala ilmu yang diperolehi dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Nak menjemput kami ke tempat anda?sila muat turun aplikasi ZakatKlik di playstore atau appstore/ ke website kami www.zakatpahang.my / menghubungi kami ditalian 09-5131515.