Nisab Zakat Semasa RM 14,793.82

PEMANGKU RAJA PAHANG TERIMA RM2.36 JUTA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN BADAN KORPORAT

KUANTAN. 20 Jun 2017 bersamaan 25 Ramadan 1438H

Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) menerima sejumlah RM2,369,157.52 bayaran zakat perniagaan daripada enam badan korporat di sini, hari ini.

Majlis Penyerahan Zakat tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu majlis ringkas sempena Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan di Istana Abdulaziz petang tadi

Turut mengiringi baginda dimajlis itu, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan serta YH Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud dan Sahibus Samahah Mufti Pahang, YH Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Osman.

Badan korporat yang membayar zakat perniagaan masing-masing ialah Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad berjumlah RM1,599,926.00 menerusi Ketua Pegawai Operasi, Yang Berbahagia Dato’ Khairil Anuar Aziz, QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd diwakili Pengurus Besar Jabatan Shariah & Pematuhan Halal,YBhg. Encik Mohd Roslan Mohd Saludin, (RM212,152.13) dan Pahang Skills Development Centre yang diwakili YH Dato’ Mas’ut Awang Samah (RM200,000.00).

Turut membuat pembayar, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya, YBhg. Encik Peer Mohamad Ibramsha (RM146,641.13), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), menerusi Pengerusi Perhubungan Negeri Pahang Zon 1, YBhg. Tuan Haji Mohd Zahidi Haji Husain,(RM136,689.03) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Rompin (RM73,749.23) menerusi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, YH Dato’ Haji Md Rusli Ismail.

Jumlah pembayaran zakat perniagaan daripada enam badan korporat itu kepada PKZ Pahang yang diterima oleh Tuanku Yang Dipertua MUIP, hari ini ialah RM2,369,157.52,

Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) merupakan anak syarikat Majlis Ugama Islam Pahang bertanggungjawab dalam pengurusan kutipan zakat harta mensasarkan bagi tahun 2017 mengutip sejumlah RM120 juta daripada 83 ribu pembayar. Menurut PKZ yang dikeluarkan hari ini, bagi mencapai sasaran berkenaan, PKZ telah mengenalpasti 5 bidang utama yang perlu dilaksanakan iaitu, zakat pendapatan, wang simpanan serta zakat perniagaan, dakwah dan promosi menerusi aplikasi ICT dan media sosial.

Justeru itu, dalam masa terdekat ini, PKZ akan melancarkan beberapa aplikasi mudah alih untuk kemudahan orang ramai dalam urusan kesedaran dan kewajipan berzakat.

Penyumbang terbesar kutipan ialah menerusi zakat perniagaan badan korporat dan para peniagaan berjumlah RM19.8 juta (tidak termasuk jumlah serahan pada hari ini) serta kutipan daripada sektor potongan gaji sebanyak RM17.6 juta.

Sehingga 15 Jun, seramai 69,443 pembayar zakat telah melaksanakan kewajipan berzakat berjumlah RM52.5 juta (berbanding tarikh yang sama pada tahun 2016 hanya 66,889 pembayar berjumlah RM35.2 juta).

Sehubungan dengan itu, PKZ mengharapkan sokongan badan-badan korporat dan orang ramai bagi mencapai sasaran serta peningkatan jumlah kutipan zakat yang pastinya dapat dinikmati oleh para asnaf menerusi pengagihan bantuan zakat oleh MUIP.

KDYMM Pemangku Raja Pahang turut meraikan pembayar-pembayar zakat dalam majlis berbuka puasa bersama-sama kira-kira 450 orang tetamu baginda yang diadakan di anjung Istana Abdulaziz.

SUMBER