Nisab Zakat Semasa RM 14,495.09

STREET DAKWAH, KAKIMU JUGA AURAT SAYANG

AHAD – TELUK CHEMPEDAK. 30 JULAI 2017 bersamaan 6 Zu al-Qaedah 1438H.

Buat julung-julung kalinya Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) telah bekerjasama didalam program Street Dakwah bersama NGO Sahabat Telekung Kuantan (STK) yang telah diadakan di perkarangan Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.

Program Street Dakwah yang diberi nama ‘Kakimu Juga Aurat Sayang’, menyasarkan dakwah kepada wanita mengenai kewajipan menutup auratkaki yang dilihat masih dipandang remeh oleh segelintir wanita. Pengerusi STK, Puan Che Ku Shaherawati binti Che Ku Jusoh berkata bahawa program ini adalah salah satu usaha bagi menyampaikan dakwah mengenai aurat kaki kepada wanita-wanita diluar sana dengan cara memberi stoking kaki percuma kepada orang awam dengan harapan mereka terbuka hati supaya dapat menutup aurat secara sempurna selepas ini.

Sebagai salah satu agensi diantara agensi-agensi yang menaja program, PKZ Pahang turut serta turun padang bersama 3 orang kakitangan wanita bagi mengambil peluang mengedarkan flyers STK dimana terdapat juga iklan produk-produk daripada PKZ sendiri diantaranya ZakatKlik dan ZakatChat.

Bermula jam 3 petang, ketibaan sukarelawan berkumpul untuk pembahagian kumpulan serta taklimat ringkas dari pengerusi STK merangkap Pengarah Program iaitu Puan Che Ku Shaherawati binti Che Ku Jusoh.

Seramai 40 sukarelawan berkumpul bagi mengagihkan stoking percuma kepada orang ramai yang berada di sekitar lokasi tersebut. Alhamdulillah program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan mendapat kerjasama daripada orang ramai dalam menerima kempen sebegini.

Sebanyak 716 pasang stoking Berjaya diedarkan kepada wanita,dan program ini tamat pada jam 5 petang.