Thursday, 21 July 2022 03:25

KUTIPAN ZAKAT PAHANG CATAT PENINGKATAN

Rate this item
(0 votes)

KUANTAN, 15 JULAI 2022 - Prestasi kutipan zakat di seluruh Pahang bagi separuh tahun pertama 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus atau RM10.5 juta berbanding tempoh sama tahun 2021. Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat harta tahun ini ialah sumbangan daripada sektor potongan gaji sebanyak RM33.6 juta manakala sumbangan daripada zakat perniagaan termasuklah badan-badan korporat dengan sumbangan sebanyak RM18 juta. Jumlah pembayar zakat harta pula meningkat kepada 85,131 orang dengan jumlah bayaran sebanyak RM81.9 juta berbanding 82,762 dengan jumlah RM71.4 juta pada tempoh sama tahun 2021.

Majlis penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi oleh Menteri Besar Pahang YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain dan Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, YH Dato’ Haji Halidan bin Md Daud serta para pegawai dan kakitangan PKZ Pahang serta badan korporat yang terlibat.

Sebanyak RM15.7 juta bayaran zakat telah diterima daripada FGV Holdings Berhad (RM11.8 juta), Kumpulan Alam Flora (RM1.9 juta), YP Plantation Holdings Sdn Bhd (RM1.25 juta), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) (RM609,220.95) dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (RM150,000).

Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang opitimis untuk mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM194 juta dengan pembayar seramai 100,800 orang pada tahun 2022 berdasarkan sokongan baik daripada badan-badan korporat dan masyarakat. Pihak PKZ Pahang mengucapkan ribuan terima kasih kepada badan korporat yang terlibat bagi menjayakan Majlis Serahan Zakat Siri 3 bagi tahun 2022 dan mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat kepada semua badan korporat yang terlibat kerana melaksanakan ibadah zakat perniagaan dan pendapatan mereka sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam.

Sumber: pahangmedia.my

Disediakan oleh,
Mohd Akmal Afif bin Mohd Nasir
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam
Pusat Kutipan Zakat Pahang

Read 100 times