Zakat emas terbahagi kepada dua bahagian :-
Emas Pakai
Emas yang dipakai sebagai perhiasan walaupun hanya sekali dalam tempoh setahun (Hijriah)

Emas Simpan
Emas yang tidak digunakan walaupun sekali atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun (Hijriah)

Emas Pakai
wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut melebihi uruf (nilai kebiasaan pemakaian setempat). Kadar Uruf bagi negeri Pahang ialah 500 gram. Kadar zakatnya adalah 2.5% dari jumlah keseluruhan nilai emas tersebut.

Emas Simpan
wajib dikeluarkan zakat sekiranya berat emas tersebut menyamai atau melebihi 85 gram / 25 mayam. Kadar zakatnya ialah 2.5% atas nilai keseluruhan emas tersebut.

Zakat hanya diwajibkan kepada nilai berat emas yang ada pada perhiasan itu sahaja. Adapun segala tatah berlian, batu permata dan sebagainya tidak dikenakan zakat padanya.

Ini jika pemilikan bersifat kegunaan individu. Adapun jika ianya diniagakan atau dijadikan barangan niaga atau perdagangan, maka hendaklah ditaksirkan kesemua nilai pemilikan tersebut dengan nilai matawang dan dizakatkan sebanyak 2.5%.

Zakat emas jongkong mahupun syiling yang dimilki untuk diperniagakan samada dalam bentuk pelaburan dan seumpamanya adalah dianggap tertakluk kepada zakat. Dalam hal ini emas jongkong dan syiling yang diperniagakan atau dimasukkan dalam pelan pelaburan adalah dianggap sebagai urudh al- tijarah (harta atau barang yang diniagakan)

Jika nisabnya tidak mencukupi, maka ia perlu disertakan atau disekalikan dengan harta perniagaan yang lain ataupun dengan simpanan lain yang dimiliki pemilik emas tersebut. Sekiranya cukup nisab, maka layak emas tersebut dizakatkan sebanyak 2.5% dari nilainya setelah ditukar kepada nilaian dalam matawang negara.

Kesimpulannya jika tidak cukup nisab, maka emas tersebut perlu dimasukkan bersama kiraan harta lain seperti simpanan yang sedia ada bagi menentukan nilai zakat yang dikenakan. Sekiranya cukup nisab, kesemua harta tersebut boleh dizakatkan sekali walaupun kiraan dibuat berasingan. (Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah 3/36)

Page 1 of 2