Monday, 06 July 2020 06:57

Apakah maksud Zakat Maadin dan Rikaz?

Zakat Maadin, kunuz dan rikaz adalah setiap benda yang dikeluarkan dari perut bumi, sama ada dalam bentuk pepejal dan cecair yang dikenali sebagai galian atau  ”Maadan”atau dalam bentuk harta yang tertimbus oleh perbuatan manusia atau kejadian alam yang dikenali sebagai perbendaharaan lama atau “Kanz”. Syaratnya bernilai. Mengikut istilah yang digunakan oleh sesetengah para fuqaha semuanya ini disebut sebagai “Rikaz”.

Definisi Maadin

Maadin merupakan harta hasil bumi yang bernilai seperti emas dan perak. Hasil bumi ini boleh dinyatakan seperti petroleum, batu permata dan lain-lain jenis yang berhubungan dengan bumi dan nilainya amat berharga seperti emas dan perak.

Definisi Rikaz

Prof. Wahbah Zuhaily melihat Rikaz adalah harta yang ditemui, ini merupakan sesuatu harta yang tidak nampak, disorok, ditanam, disimpan dan dipendam oleh seseorang insan sebelumya, harta ini termasuk emas.

Firman Allah S.W.T. dalam surah al- Baqarah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, belanjalah pada jalan Allah sebahagian dari hasil kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”. 

Nabi S.A.W. mengambil zakat daripada maadin/ galian al-Qabaliya.

Al-Qabaliyah dinisbahkan kepada Qabal, suatu tempat di kampung bernama al-Fur’ antara Makkah dan Madinah.

Imam an-Nawawi R.A berkata:

“Para ashab (ulama’ mazhab) kami berkata: Umat Islam sepakat tentang wajibnya zakat maadin/galian.

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Pada rikaz itu wajib satu perlima (sebagai zakat)”.

Monday, 06 July 2020 06:59

Berapakah kadar Zakat Maadin/Galian?

Apabila seseorang itu menggali maadin/galian (emas atau perak dan seumpamanya) dan apa yang diperolehinya cukup nisabnya maka dia wajib mengeluarkan zakat pada waktu itu juga dengan kadar 2.5% daripada jumlah keseluruhannya.

Monday, 06 July 2020 07:25

Berapakah kadar Zakat Rikaz?

  1. Apabila seseorang itu memperolehi emas atau perak dan apa yang diperolehinya cukup nisabnya maka dia wajib mengeluarkan zakat pada waktu itu juga dengan kadar 20% daripada jumlah keseluruhannya.
  2. Tidak disyaratkan haul pada maadin/galian dan rikaz kerana keduanya dikeluarkan daripada perut bumi dan ia serupa dengan tanaman. Jadi, diambil zakatnya sebagaimana diambil zakat tanaman iaitu sewaktu pengutipan hasilnya selepas ia dibersihkan dan diproses daripada kotoran yang bercampur dengannya.
Page 1 of 2